Berita KBS

PEKAN, 8 Disember 2020 – Dalam memastikan pematuhan warga kerja KBS dipertingkatkan, Unit Integriti (UI) Kementerian Belia dan Sukan telah melaksanakan naziran pematuhan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, Pahang yang melibatkan warga kerja dan pelajar IKBN Pekan. Ia adalah bertujuan untuk melihat tahap kesedaran warga kerja terhadap kepentingan pematuhan waktu kerja serta maklum balas pelajar berhubung Pengurusan di IKBN Pekan, Pahang.

Semoga sesi naziran ini dapat memberi impak positif kepada IKBN Pekan serta warga KBS yang lain dalam memperkukuhkan budaya integriti.

KUANTAN, 7 Disember 2020 – Pengukuhan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam boleh disebarluas menerusi inisiatif kawalan dalaman oleh Pengurusan di Jabatan/ Agensi itu sendiri. Justeru, dalam memastikan pembudayaan integriti dalam kalangan warga KBS dipertingkatkan, Unit Integriti (UI) Kementerian Belia dan Sukan telah menjalankan naziran pematuhan di Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang.

Naziran yang dilaksanakan ini memberi fokus kepada pematuhan waktu kerja, semakan kad perakam waktu, dokumentasi serta lain-lain perkara yang berkaitan. Kerjasama dan sokongan yang baik oleh pengurusan JBS Negeri Pahang telah membantu melancarkan proses naziran tersebut.

Diharapkan agar nilai integriti warga KBS dapat terus disemai dan menjadi budaya dalam kehidupan seharian.
MELAKA, 28 SEPTEMBER 2020 – Pembayang dan maksud tidak dapat dipisahkan. Umpama aur dan tebing, isi dan kuku serta banyak lagi madah yang terkandung dalam warisan budaya. Tidak dilupakan juga pantun yang telah lama wujud zaman-berzaman bukan sahaja untuk berjenaka malah untuk menasihati. Seni budaya ini tidak wajar ditelan zaman dan seharusnya menjadi mainan terutama sekali buat anak muda kita. Rakan Muda sedar akan potensi yang dimiliki oleh mereka dan oleh sebab itulah tercetusnya idea penganjuran Pertandingan Pantun Rakan Muda Aktif.

Pertandingan ini telah dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka dengan kerjasama MAYC Negeri Melaka. Dalam usaha membudayakan pantun yang semakin pudar di kalangan generasi anak muda pada masa kini, program seumpama ini juga bertujuan untuk merai dan menghargai kepelbagaian budaya yang menghiasi kehidupan masyarakat kita. Pertandingan yang membawa tema Gaya Hidup: Rakan Seni Budaya ini bukan hanya semata-mata fokus kepada sesuatu bangsa atau kaum, tetapi ia perlu dilihat sebagai medium pengetahuan buat seluruh masyarakat yang berpayung di bawah nama Malaysia.

Pertandingan Pantun Rakan Muda ini telah berlangsung bermula 15 Ogos hingga 15 September 2020 dan merupakan salah satu inisiatif yang dirangkumkan di dalam program Rakan Muda Aktif kelolaan Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara. Program ini menggariskan 6 Gaya Hidup Rakan Muda Aktif iaitu Rakan Cinta Alam, Rakan Inovasi, Rakan Seni Budaya, Rakan Wira Mahir, Rakan Masyarakat serta Rakan Kecergasan. Sebanyak 335 penyertaan telah berjaya diperoleh meliputi anak muda yang berumur 15 hingga 25 tahun. Pertandingan ini turut menawarkan hadiah wang tunai buat para pemenang.

Tahniah diucapkan buat semua yang telah menyertai dan menjayakan pertandingan ini. Jangan lupa, jadikan Rakan Muda Aktif sebagai satu Gaya Hidup. Gaya Kita, Cara Kita!

JOHOR, 1 OKTOBER 2020 – Kini tiada apa yang mustahil dalam mempersembahkan bakat dan kemahiran yang terpendam kepada dunia. Ditambah dengan dugaan wabak Covid-19, ia mungkin dilihat sebagai satu halangan untuk melakukan sebarang aktiviti fizikal mahupun bersemuka. Walaupun begitu, dengan perkembangan teknologi sedia ada, Rakan Muda tampil dengan lebih segar bagi mendampingi anak muda. Ini termasuklah dengan mengadakan pertandingan secara dalam talian seperti DIY Rakan Muda.

Pertandingan ini telah dilaksanakan menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor dan mendapat kerjasama Persatuan Belia Cergas Pontian, Johor. Matlamat utama pertandingan ini adalah untuk mencungkil bakat anak muda berinovasi dan berani tampil dengan idea baharu serta di luar kotak. Sebanyak 86 penyertaan dari seluruh negara berjaya diperoleh merangkumi anak muda berumur 15 hingga 25 tahun.

DIY Rakan Muda telah berlangsung bermula 24 Julai hingga 18 September 2020 dan merupakan salah satu inisiatif pertandingan yang dirangkumkan di dalam program Rakan Muda Aktif kelolaan Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara. Program ini menggariskan 6 Gaya Hidup Rakan Muda Aktif iaitu Rakan Cinta Alam, Rakan Inovasi, Rakan Seni Budaya, Rakan Wira Mahir, Rakan Masyarakat serta Rakan Kecergasan. Pelbagai idea menarik dan berinovasi telah dikongsi oleh para peserta menerusi platform media sosial mereka. Pertandingan ini turut menawarkan hadiah wang tunai buat para pemenang.

Tahniah diucapkan buat semua yang telah menyertai dan menjayakan pertandingan ini. Jangan lupa, jadikan Rakan Muda Aktif sebagai satu Gaya Hidup. Gaya Kita, Cara Kita!

Go to top