Berita KBS

PUTRAJAYA, 11 MAC 2020 - Sukan Olimpik Tokyo 2020 jadi fokus utama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang memulakan tugas secara rasmi hari ini.

Beliau berkata segala perancangan mengenai persediaan atlet ke arah Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan diteruskan dalam misi memburu emas pertama buat Malaysia.

“Sememangnya ini adalah idaman dan impian rakyat Malaysia untuk melihat kita memenangi emas pertama di Olimpik Tokyo. Jadi keutamaan untuk tempoh jangka pendek ini adalah Olimpik Tokyo”.

Tambah beliau, program pembangunan E-Sukan turut akan diteruskan.

Datuk Seri Reezal Merican melapor diri di Menara KBS pukul 12.55 tengah hari bersama timbalannya, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Beliau disambut oleh Ketua Setiausaha KBS, Datuk Dr. Waitchalla R. R. V Suppiah sebelum dibawa ke aras 17, yang menempatkan Pejabat Menteri.

Sebelum memasuki pejabat, Datuk Seri Reezal mengimbas kad perakam waktu, sebelum menerima Jaket Harimau 'Malaysian Heroes'.

KUALA LUMPUR, 9 MAC 2020 - Sebuah basikal trek model WX-R Vortex direka khas buat pelumba negara dalam misi memburu pingat emas pertama di Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada 24 Julai hingga 9 Ogos depan.

Basikal yang direka khas itu menggunakan teknologi terkini dengan karbon dan sistem aerodinamik terbaik.

Ini terbukti ketika membantu Mohd Azizulhasni Awang meraih gangsa acara keirin dan pecut di Kejohanan Dunia di Berlin baru-baru selain membantu Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Zonis melakukan catatan peribadi terbaik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Ahmad Faedzal Ramli berkata basikal berkenaan dihasilkan menerusi projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) berjumlah RM13 juta antara ISN dan syarikat dari United Kingdom, TOTALSIM Ltd. yang mempunyai kepakaran dalam kejuteraan aerodinamik.

Bagi Azizulhasni, basikal yang direka khas ini amat bersesuaian dengan kayuhan beliau dan berharap dapat mencipta kejutan di Tokyo nanti.

KUALA LUMPUR, 3 Mac 2020 - Bengkel Penetapan Hala Tuju Sukan Negara yang diadakan pada 2-3 Mac 2020 di Nilai Springs Resort Hotel ini adalah bertujuan untuk merangka cadangan hala tuju baharu sukan negara 2021 - 2030 khususnya menilai semula senarai sukan-sukan termasuk senarai sukan teras.

Bengkel ini dirasmikan oleh YBhg. Dato' Ahmad Shapawi Ismail Ketua Pengarah MSN yang disertai oleh En Suhardi Alias Timbalan Ketua Pegarah (Pembangunan Sukan) serta Pengarah Bahagian dan pegawai-pegawai dibawah struktur Pembangunan Sukan.

Beberapa topik khusus seperti Model Baharu Pembangunan Sukan, Program Jangka Panjang dan Sukan Malaysia juga turut dibincangkan semasa bengkel ini.

Pihak Majlis juga telah menjemput YBrs. Dr. Wirdati Mohd Radzi Pesuruhjaya Sukan Malaysia untuk turut membentangkan Pelan Perancangan Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan beberapa program dibawah PPS akan diselaraskan pelaksanaannya bersama MSN.

Hasil rumusan dan cadangan Bengkel Penetapan Hala Tuju Sukan Negara 2021-2030 ini seterusnya akan dibentang dan dibincangkan bersama semua pemegang taruh sukan negara pada bengkel yang akan dilaksanakan selepas ini.

Melaka, 22 FEBRUARI 2020 – ‘Cara terbaik meramal masa depan adalah dengan membinanya’, kata-kata yang dipetik dari tokoh terkenal, Abraham Lincoln yang bercakap mengenai pentingnya perancangan demi masa depan.

Telah berlangsung satu Bengkel Hala Tuju Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia (BPKB) & Institusi Latihan Kemahiran Belia Dan Sukan (ILKBS) bagi tahun 2021-2025 di CREaTE, Alor Gajah.
Bengkel yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini disertai pengarah-pengarah daripada BPKB dan ILKBS seluruh negara.

Objektif bengkel bertujuan merancang dan menyediakan pelan strategik dan hala tuju BPKB & ILKBS bagi tahun 2021 - 2025 serta membangunkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berdasarkan Pelan Strategik KBS, Rancangan Malaysia ke 12 (RMK-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Pengarah Kemahiran, Pembangunan Kemahiran Belia (PKB) Ybhg. Dato Dr. Hjh. Wasitah binti Hj Mohd Yusof juga turut hadir dan berkongsi aspirasi kementerian di samping meluangkan masa bertemu pelajar-pelajar bidang hospitaliti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Alor Gajah yang menjadi urus setia makan minum sepanjang bengkel berlangsung.
Go to top