Berita KBS

KUALA LUMPUR, 20 FEBRUARI 2020 - RM22.5 juta diperuntukan Kementerian Belia dan Sukan buat persediaan atlet ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan dana di bawah program Road To Tokyo (RTT) itu adalah bermula dari Januari hingga Ogos tahun ini membabitkan sembilan acara sukan dengan berbasikal memperoleh dana terbesar iaitu sebanyak RM8,378,654.

Lapan lagi sukan yang menerima dana itu adalah badminton (RM6,454,644), akuatik terjun (RM2,323,806), pelayaran (RM1,962,095), memanah (RM940,710), golf (RM738,000), gimnastik artistik (RM644,905), karate (RM588,975) dan akuatik renang (RM477,000).

"Jika ada keperluan pada pecutan terakhir nanti kami akan perhalusi untuk dana tambahan", katanya selepas mempengerusi Mesyuarat Ahli Majlis MSN, Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia 2020 dan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Program Road To Tokyo 2020.

Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos ini.

Dalam ada itu, Syed Saddiq turut mengumumkan Kelantan bakal menjadi tuan rumah Sukma buat kali pertama pada 2024.

"Kelantan tidak pernah diberikan peluang menganjurkan SUKMA kerana dengan penganjuran tersebut akan ada pembangunan sukan secara menyeluruh di Kelantan".

Untuk edisi 2022, hak penganjuran masih belum dimuktamadkan kerana terdapat cadangan penggiliran tuan rumah untuk diberikan kepada MSN selain terdapat beberapa negeri telah menawarkan diri sebagai tuan rumah bagi edisi tersebut.

SELANGOR, 18 FEBRUARI 2020 - Tahun 2019 merupakan tahun pertama Projek Reben Kuning dilaksanakan dan telah berjaya mencatatkan seramai 24,234 orang penyertaan melalui program-program yang telah diadakan. Pelbagai inisiatif telah diwujudkan pada tahun pertama pelaksanaan pilot projek ini bagi membantu belia berisiko yang merangkumi bekas tahanan, bekas banduan, Orang Diselia (ODS) dan pelatih Sekolah Henry Gurney untuk membina kehidupan yang lebih baik selepas menjalani hukuman.

Projek Reben Kuning digerakkan oleh lima (5) kluster iaitu Kluster Kemahiran, Kluster Sukan, Kluster Keusahawanan, Kluster Kebolehpasaran dan Kluster Kempen Kesedaran. Program yang dilancarkan pada 19 Oktober 2018 oleh YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan di Penjara Sungai Buloh ini bertujuan untuk memberi peluang kedua kepada golongan terpinggir ini melalui platform kemahiran, sukan dan keusahawanan agar mereka boleh kembali ke pangkuan masyarakat dengan kehidupan yang lebih baik. Usaha ini selari dengan Dasar Belia Malaysia (DBM) untuk memperkukuh potensi dan menyerlahkan potensi modal insan belia sebagai pemacu pembangunan strategik negara. Selain itu, projek ini diharap dapat menghapuskan stigma negatif masyarakat terhadap golongan tersebut dan membuka peluang kedua kepada golongan ini.

Konvensyen Reben Kuning dan Majlis Pelancaran Tahun Kedua Projek Reben Kuning 2020 yang diadakan pada hari ini adalah bertujuan untuk menggalakkan partisipasi institusi awam, swasta, NGO, pertubuhan belia dan masyarakat dalam memberi peluang kedua kepada belia berisiko. Usaha ini juga diharap dapat membantu golongan belia ini kembali dan berbakti kepada masyarakat tanpa dibelenggu kesilapan masa lalu yang tidak seharusnya menjadi bebanan kepada mereka.

Bagi tahun kedua Projek Reben Kuning, KBS mengambil langkah dengan mengketengahkan tujuh (7) inisiatif baru iaitu, pembinaan sahsiah dan jati diri dalam kalangan peserta, latihan intensif kemahiran, latihan intensif keusahawanan, peluang kerjaya melalui sukan, program job matching, advokasi sistem sokongan masyarakat dan 12 plan strategik promosi Projek Reben Kuning.

Pihak KBS merakamkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang telah bersama-sama menjayakan tahun pertama program ini antaranya Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara Malaysia, Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB), Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB), Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Syarikat MKRS Group Sdn Bhd, Adiratna Wealth  Resources  dan rakan strategik yang terlibat di atas kerjasama yang telah diberikan. KBS menyeru kepada pihak industri, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang awam untuk tampil dan bergerak seiring bersama pihak Kerajaan bagi membantu dan bersama-sama menggalas tanggungjawab sosial untuk memberikan sinar dan #PeluangKedua kepada mereka yang telah tersasar.

SHAH ALAM,14 FEBRUARI 2020 – Hubungan kerjasama strategik di antara institusi kemahiran dan industri sentiasa dilihat penting bagi melahirkan tenaga mahir bagi memenuhi permintaan pasaran industri.

Satu Program ‘Train The Trainer’ (TTT) Siri 1 melibatkan 10 pengajar Institusi Latihan Kemahiran Belia Dan Sukan (ILKBS) telah berlangsung di Volvo Malaysia Sdn. Bhd. Seksyen 15 Shah Alam hari ini.

Program tajaan penuh Volvo ini berlangsung selama empat hari dan melibatkan perkongsian teknologi terkini pihak syarikat kepada pengajar ILKBS dalam bidang automotif, kenderaan perdagangan (commercial vehicle).

Pengarah Kemahiran, Pembangunan Kemahiran Belia (PKB), Dato Dr. Hjh. Wasitah Binti Hj. Mohd Yusof telah mewakili KBS bagi menerima sumbangan sebuah enjin trak Volvo sebagai peralatan latihan kepada pelajar-pelajar di institusi.

Melalui ILKBS, Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) sentiasa memastikan ilmu pelajar-pelajar kemahiran dikemaskini bagi melahirkan tenaga kerja yang lebih kompeten. 

NILAI, 13 FEBRUARI 2020 - Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang sasar hadiah pingat emas buat Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti.

"Sejak daripada awal membabitkan diri dalam dunia berbasikal, pendirian saya tidak pernah berubah iaitu mahu memenangi emas untuk Malaysia. Saya akan cuba sehabis baik", katanya.

Sasaran itu jelas melebihi apa yang ditetapkan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) pada temasya sukan terbesar dunia yang akan membuka tirai hujung Julai ini yang meletakkan pingat perak buat The Pocket Rocketman.

Dalam pada itu, Azizul bersama rakan sepasukan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Fadhil Mohd Zonis kini dalam persiapan ke Kejohanan Dunia di Berlin, Jerman yang bermula 26 Februari sehingga 1 Mac depan.

Skuad berbasikal trek negara dalam misi memburu dua slot individu bagi acara keirin dan pecut di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Azizul turut menjelaskan beliau kini berada di prestasi terbaik untuk ke Jerman dan mahu mengulangi sejarah pada 2017 dimana beliau mencipta sejarah muncul juara dunia pada 2017 di Hong Kong menerusi acara keirin.

Go to top