Berita KBS

JOHOR, 1 OKTOBER 2020 – Kini tiada apa yang mustahil dalam mempersembahkan bakat dan kemahiran yang terpendam kepada dunia. Ditambah dengan dugaan wabak Covid-19, ia mungkin dilihat sebagai satu halangan untuk melakukan sebarang aktiviti fizikal mahupun bersemuka. Walaupun begitu, dengan perkembangan teknologi sedia ada, Rakan Muda tampil dengan lebih segar bagi mendampingi anak muda. Ini termasuklah dengan mengadakan pertandingan secara dalam talian seperti DIY Rakan Muda.

Pertandingan ini telah dilaksanakan menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor dan mendapat kerjasama Persatuan Belia Cergas Pontian, Johor. Matlamat utama pertandingan ini adalah untuk mencungkil bakat anak muda berinovasi dan berani tampil dengan idea baharu serta di luar kotak. Sebanyak 86 penyertaan dari seluruh negara berjaya diperoleh merangkumi anak muda berumur 15 hingga 25 tahun.

DIY Rakan Muda telah berlangsung bermula 24 Julai hingga 18 September 2020 dan merupakan salah satu inisiatif pertandingan yang dirangkumkan di dalam program Rakan Muda Aktif kelolaan Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara. Program ini menggariskan 6 Gaya Hidup Rakan Muda Aktif iaitu Rakan Cinta Alam, Rakan Inovasi, Rakan Seni Budaya, Rakan Wira Mahir, Rakan Masyarakat serta Rakan Kecergasan. Pelbagai idea menarik dan berinovasi telah dikongsi oleh para peserta menerusi platform media sosial mereka. Pertandingan ini turut menawarkan hadiah wang tunai buat para pemenang.

Tahniah diucapkan buat semua yang telah menyertai dan menjayakan pertandingan ini. Jangan lupa, jadikan Rakan Muda Aktif sebagai satu Gaya Hidup. Gaya Kita, Cara Kita!

PAHANG – Merentasi kebiasaan, Rakan Muda tampil dengan kaedah baharu dalam menarik minat anak muda untuk mendekati alam semula jadi. Menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, satu pertandingan secara dalam talian iaitu Rakan Muda Hijau telah dilaksanakan melibatkan anak muda berumur 15 hingga 25 tahun. Pertandingan ini menjadikan Instagram sebagai platform bagi para peserta memuat naik hasil suntingan video mereka yang berkonsepkan Gaya Hidup Rakan Cinta Alam.

Pertandingan Rakan Muda Hijau telah dilaksanakan bermula 3 hingga 30 Ogos 2020 yang mendapat kerjasama daripada Persatuan Belia Pamah Rawas, Ulu Dong, Raub ini berjaya menarik seramai 128 penyertaan dari seluruh negara. Bukanlah sesuatu yang mudah bagi para juri untuk menilai karya para peserta bahkan kreativiti serta informasi yang disampaikan mereka amat menarik dan di luar kotak. Apa yang lebih penting adalah pertandingan seumpama ini mampu membangkitkan minat anak muda terhadap sesuatu perkara yang berkaitan seperti alam sekitar, tumbuh-tumbuhan dan pelbagai lagi.  

Pertandingan yang dijalankan ini merupakan salah satu inisiatif yang dirangkumkan dalam program Rakan Muda Aktif anjuran Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara. Program ini menggariskan 6 Gaya Hidup Rakan Muda Aktif iaitu Rakan Cinta Alam, Rakan Inovasi, Rakan Seni Budaya, Rakan Wira Mahir, Rakan Masyarakat serta Rakan Kecergasan. Setiap peserta yang menyertai pertandingan ini bebas mengukir kreativiti masing-masing dan berpeluang memenangi hadiah yang ditawarkan dengan memenuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan.

Tahniah diucapkan buat semua yang telah menyertai dan menjayakan pertandingan ini. Jangan lupa, jadikan Rakan Muda Aktif sebagai satu Gaya Hidup. Gaya Kita, Cara Kita!
PUTRAJAYA, 18 November 2020 – Sempena sambutan Hari Integriti Nasional yang disambut pada setiap bulan November, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Unit Integriti (UI) bersama Jabatan dan Agensi telah merancang pelbagai program yang bertujuan untuk menyemarakkan nilai-nilai integriti dalam kalangan warga KBS.

Menerusi program sambutan Integriti Peringkat KBS, KBS dengan kerjasama SPRM telah menganjurkan Bicara Integriti menerusi FB Live yang bertajuk ‘’Integriti Putuskan Rantaian Rasuah’’.  Pelbagai topik semasa telah dikongsikan oleh Tuan Hj Celemans Hj Kasim (SPRM) dan Puan Siti Rosmawati Binti Abd Rafor (KBS) selaku moderator. Bicara integriti ini telah bersiaran secara langsung di FB Live @KBSMalaysia dan @MACC.fm.

Bukit Jalil, 23 September 2020 – Bertempat di Dewan Auditorium Majlis Sukan Negara, telah berlangsung Kursus Sains Sukan Tahap 2 selama satu minggu bermula 21 hingga 26 September 2020.

Slot anti-doping ini merupakan satu kriteria penting kepada jurulatih-jurulatih yang mengikuti kursus ini. Seramai 25 orang jurulatih NRDP dan NFDP telah menyertai kursus ini. Slot ini juga telah dikendalikan oleh Penolong Pengarah seksyen Pendidikan dan Pencegahan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), En. Mohd Hafizuddin bin Baki.

Tujuan slot anti-doping adalah untuk memberi pengetahuan mendalam kepada jurulatih dan menerapkan elemen anti-doping semasa latihan kepada atlet dilakukan.

Go to top