KANGAR, 18 OGOS 2015 – Penganjuran Bengkel Women’s Fitness Boot Camp Siri I Peringkat Negeri Perlis 2015 berjaya memberi manfaat kepada kira-kira 100 penjawat awam wanita di negeri itu dalam mendapatkan panduan untuk amalan gaya hidup sihat.

Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Perlis itu mendapat sambutan baik dari kalangan kakitangan awam wanita dalam usaha mereka mengatasi masalah stress, penurunan berat badan serta teknik-teknik senaman yang berkesan dan amalan gaya hidup sihat. Menurut Pegawai Penyelaras Program, Mohd. Abd. Karim Khan Mansor Ahmad Khan, program ini akan diadakan sebanyak tiga siri termasuk melibatkan masyarakat kampung dan suri rumah.

“ Selain penjawat awam, kita juga melihat pendedahan ilmu gaya hidup sihat ini perlu diperluaskan kepada orang awam termasuk golongan ibu atau suri rumah serta wanita di kampung-kampung kerana mereka juga berdepan dengan masalah stress dan pengawalan gaya hidup sihat, “ katanya di sini hari ini. Bengkel ini dikendalikan sepenuhnya Siti Jameelah Md. Japilus iaitu Pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Perlis. Beliau juga merupakan bekas atlet Silat Olahraga Kebangsaan Tahun 1999-2012 serta Jurulatih Jom Kurus 1 Malaysia. Selain ceramah, para peserta turut didedahkan dengan aktiviti praktikal seperti cara regangan dan senaman ringan serta aerobik.

Program ini bertujuan untuk menjadikan sukan sebagai satu budaya dalam kehidupan seharian serta membentuk golongan wanita yang aktif dan cergas di samping mengurangkan peratusan golongan wanita yang menghidap penyakit tidak berjangkit. Bengkel siri I ini disertai lebih 20 Jabatan dan agensi kerajaan yang sering bekerjasama dengan JBSN Perlis dalam pelbagai penganjuran program. Beberapa peserta yang ditemui selepas program selesai berkata, bengkel tersebut sangat baik dan berkesan kerana ia mendedahkan peserta dengan petua-petua atau panduan pemakanan dan amalan senaman yang seimbang dalam proses menjayakan amalan gaya hidup sihat dan penurunan berat badan. Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil disempurnakan Pengarah JBSN Perlis, Syamsul Tahrin Mohd. Tahir. Hadir sama Penolong Pengarah Sukan, Nadlin Alwi.



Oleh :
Maznah Abd. Halim & Mohd Fais Haji. Mohd Sendek ( JBSN Perlis )

Disunting :
Razali Haji Mohamed Yassin ( Unit Komunikasi Korporat KBS)
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Go to top