PUTRAJAYA, 5 OKTOBER 2016 – Sebanyak 35 projek inovasi hasil kreativiti para pelajar IKBN dan IKTBN yang dibahagikan kepada 4 kategori iaitu teknologi kejuruteraan mekanikal, teknologi kejuruteraan elektrikal dan elektronik, teknologi kejuruteraan awan dan teknologi makanan dan rekaan fabrik dipertandingkan dalam Pertandingan Rekacipta & Inovasi ILKBS 2016 bertemakan “TEKNOLOGI HIJAU DAN KITAR SEMULA” yang dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Kementerian Belia dan Sukan yang berlangsung di Menara KBS.

Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan, YBrs Encik Nik Abd Kadir Bin Nik Mohammad turut menyatakan harapan beliau agar Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia sentiasa melakukan penambahbaikan agar lepasan ILKBS akan menjadi tenaga mahir negara dan mampu bersaing di peringkat global. Beliau turut menyampaikan ucapan tahniah kepada para pemenang dan teruskan usaha kepada yang tidak berjaya pada hari ini.

Sebelum itu, selaku ketua hakim, Encik Norazam Bin Kamisan dari Solar Energy Consultant turut memberi ulasan tentang produk yang dipertandingkan pada hari ini. Beliau menyatakan perasaan bangga beliau terhadap ciptaan produk yang sangat berkualiti dan memuaskan hati para hakim pada hari ini. Walau bagaimanapun, beliau menasihati para pelajar agar mencipta sesuatu produk yang menepati persekitaran waktu bekerja dan beliau berharap agar pihak ILKBS menjalinkan lebih banyak kerjasama dengan industri luar.

Tahniah diucapkan kepada johan keseluruhan yang dimenangi oleh IKTBN Sepang dengan projek Synthetic Bio Fuel yang turut memenangi dua kategori iaitu johan bagi teknologi elektikal & elektronik dan turut menerima medalion gangsa bagi Pertandingan Rekacipta dan Inovasi ILKBS 2016.

Oleh: Nur Hanis Hasniza Binti Mad Hassim (Unit Komunikasi Korporat)
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Go to top