“ BUDAK NAKAL IKBN KINARUT RAIH PENDAPATAN RM 10,000 SEBULAN ”
Selepas tiga tahun bergelar usahawan, bekas pelajar jurusan pendawaian elektrik IKBN Kinarut, Nasrul Bin Mustapha Kamal boleh tersenyum lebar hari ini apabila beliau memperolehi pendapatan RM 10,000 - RM 15,000 sebulan.

Nasrul, 29 tahun ditemui di pejabat beliau di Kompleks Asia City, Kota Kinabalu, Sabah cukup bersemangat bercerita tentang penglibatan beliau dalam bidang usahawan yang diceburinya.

Gelaran “budak nakal” yang diperolehinya adalah dari pengajar di IKBN Kinarut kerana kenakalan beliau ketika berada di IKBN Kinarut. Menurut Nasrul, idea asalnya adalah untuk bekerja di offshow sebagai pekerja minyak dan gas tetapi atas nasihat kakak, akhirnya beliau mendaftar masuk di IKBN Kinarut. Pelatih pengambilan P14 itu telah memiliki syarikat sendiri iaitu Wawasan Bumi Borneo Enterprise dengan dua orang pekerja tetap dan 40 orang pekerja kontrak.

Beliau tidak menghadapi masalah dalam melaksanakan projek sama ada kecil atau besar kerana mempunyai pekerja dan modal yang mencukupi. Kelebihan yang ada pada Nasrul ialah beliau mempunyai keluarga yang menjalankan perniagaan termasuk ayah dan adik beradik yang membantu dari segi modal dan kepakaran jika diperlukan.

Menurut Nasrul lagi, selain melaksanakan projek sendiri, Syarikat Wawasan Bumi Borneo Enterprise juga mengagih-agihkan kerja-kerja kepada syarikat kawan-kawan yang sama bidang di Daerah Tawau sebagai rakan strategik berkongsi bisnes atau dengan kata lain ‘tolong menolong dalam bisnes’.

Disediakan oleh : IKBN Kinarut
Disunting oleh : Shahrom Abdullah (UKK)
Go to top