‘JURUTERA TEMPUR’ PILIH BIDANG PENGHAWA DINGIN DI IKBN KINARUT
KINARUT ; Selepas menabur jasa selama 21 tahun berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jamludin bin Dari akhirnya telah memilih bidang kemahiran penghawa dingin sebagai bidang kerjaya untuk diterokai apabila bersara nanti.

“Selepas berpencen nanti saya bercadang untuk membuka perniagaan penghawa dingin secara kecil-kecilan berdasarkan kemahiran yang saya miliki ”, kata Jamludin yang berasal dari Kota Belud, Sabah.

Jamludin (41 tahun) juga dikenali ‘Jurutera Tempur’ berkata bidang penghawa dingin ini amat diperlukan oleh industri di Sabah pada masa kini. Ditanya bagaimana beliau boleh terfikir untuk memasuki IKBN Kinarut sedangkan banyak Institusi lain yang ada menawarkan bidang yang sama, Jamludin berkata semuanya bermula dengan pencerahan yang positif dari rakan seperjuangannya yang pernah berlatih di IKBN Kinarut, Sabah.

“ Setelah berjaya dalam sesi ujian dan temuduga yang dilaksanakan oleh PERHEBAT, saya terus membuat permohonan ke IKBN Kinarut dalam bidang penghawa dingin bagi mencapai azam saya untuk mahir dalam bidang tersebut “, tambah Jamludin lagi.

Bidang penghawa dingin domestik di IKBN Kinarut memerlukan tempoh 15 bulan untuk layak diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2. Kopral Jamludin dijangka menamatkan kursus insentif bidang penghawa dingin di IKBN Kinarut pada Jun 2017.

Disunting Oleh :- Razali Mohamad
Disunting oleh : Unit Komunikasi Korporat KBS
Go to top