Townhall Anok Mudo

BACHOK, 15 FEBRUARI 2019 – Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memulakan lawatan kerja rasmi ke negeri-negeri di pantai timur semenanjung dengan Kelantan sebagai destinasi pertama.

Sejurus mendarat, beliau dibawa ke Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok bagi sesi interaksi dan perkongsian strategik bersama warga kerja dan pelajar. Selain itu, beliau juga turut berpeluang merasai juadah dan makanan khas tempatan yang disediakan secara eksklusif oleh Jabatan Teknologi Hospitaliti.

Menurutnya, KBS akan bergerak dengan lebih proaktif di dalam memperkasakan TVET agar ia seiring dengan revolusi perindustrian 4.0 (IR 4.0) termasuklah bidang hospitaliti yang kian mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Seterusnya di sebelah petang, sesi townhall khas bertemakan suara “anok mudo” telah diadakan yang menghimpunkan generasi muda tempatan bagi berkongsi idea, kritikan, dan pendapat.

Perbincangan kritis yang menyentuh kepelbagai perspektif yang dekat dalam kalangan generasi muda antaranya kos sara hidup, peluang pekerjaan, kesukarelawan dan banyak lagi.

“Saya tertarik dan menghargai semua dapatan yang diperolehi sepanjang sesi ini berlangsung dan ingin menegaskan yang pembangunan belia dan sukan akan terus menjadi keutamaan KBS dan kerjasama bersama kerajaan negeri akan dijalin tanpa mengira fahaman politik,” tambah beliau.

Disediakan oleh: Unit Komunikasi Korporat

Go to top