PAGOH, 21 Februari 2019 - Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh mengorak langkah proakftif apabila dipilih untuk memulakan projek rintis inisiatif Pendigitalan Industri 4.0 di mana perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kerajaan telah menggariskan dasar nasional Industri 4.0, Industry4WD dan telah dilancarkan pada Oktober 2018. Semasa majlis pelancaran tersebut, Kerajaan menyeru agar sektor industri perlu segera mengambil langkah dan mempercepatkan pelaksanaan dasar berkenaan.

Bagi merealisasikan hasrat kerajaan, Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) telah memainkan peranan sebagai penyedia tenaga kerja berteknologi tinggi dengan menghasilkan graduan yang celik teknologi serta memperkasakan ekosistem Revolusi Industri 4.0.

Menerusi inisiatif Pendigitalan Industri 4.0 @ILKBS ini, KBS telah melengkapkan IKTBN Pagoh dengan dua kemudahan latihan bercirikan Industri 4.0 (I4.0) iaitu Smart Machining Centre dan Smart Industrial Automation Lab yang dikuasakan dengan gabungan ciri Internet 0f Things (IoT), cyber-physical system dan Additive Manufacturing (3D Printing).

Persediaan ILKBS dalam era digital ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 10,000 belia menjelang Tahun 2020. Pengajaran subjek bina insan melalui Anugerah Remaja Perdana pula akan membentuk sahsiah dan peningkatan kendiri bagi persediaan pelajar menempuh arus perubahan bagi melengkapkan diri anak muda ke arah dunia digital dan pekerjaan masa hadapan.

"Potensi pekerjaan baharu dapat dicipta dengan pemerkasaan bidang TVET yang merangkumi teknikal dan vokasional dan ILKBS akan terus memainkan peranan dalam bidang kemahiran selaras dengan hasrat kerajaan menuju era revolusi perindustrian 4.0," ujar Syed Saddiq kepada pemberita selepas majlis perasmian.

Turut hadir, Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran belia (BPKB), YBhg. Dato' Dr Wasitah Yusof.

Disediakan oleh: Ahnantha Rao, Pelatih Industri Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Unit Komunikasi Korporat
Go to top