KUALA LUMPUR, 23 April 2019 - Atlet tenpin boling, Muhammad Rafiq Ismail dan ratu gimrama, Amy Kwan Dict Weng ditabal selaku Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan dalam Majlis Anugerah Sukan Negara 2018 yang berlangsung di ibu negara.

Rafiq berjaya melakar sejarah apabila menamatkan kemarau 39 tahun dengan membawa pulang pingat emas dalam acara perseorangan di Kejohanan Boling Dunia Lelaki di Hong Kong.

Kali terakhir Malaysia menang pingat emas kategori lelaki dalam kejohanan itu ialah pada 1979 di Manila menerusi gandingan trio J.B Koo, Allan Hooi dan Edward Lim.

Selain Rafiq, turut tersenarai dalam calon olahragawan termasuklah olahragawan 2017, Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal), Syarul Azman Mahen (bina badan), Mohd Nafiizwan Mohd Adnan (skuasy), dan Mohd Fauzi Kaman Shah (pelayaran).

"Saya bersyukur dipilih sebagai olahragawan selepas lima kali dicalonkan sebagai calon akhir sebelum ini".

Kali terakhir gelaran Olahragawan dimenangi sukan tenpin boling pada anugerah berprestij berkenaan adalah pada tahun 1984 menerusi Michael Chuah.

Amy Kwan pula mengenepikan empat calon lain iaitu S.Sivasangari (skuasy), Siti Zalina Ahmad (boling padang), Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (tenpin boling) dan Tan Li Lian (bina badan) untuk mengungguli Olahragawati Kebangsaan.

Tahun lalu Amy cemerlang menghadiahkan emas dalam acara riben dan membantu acara berpasukan meraih pingat perak di temasya Sukan Komanwel Gold Coast.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menyampaikan kedua-dua anugerah utama tersebut.

Turut berangkat ke majlis gilang gemilang itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Selaku pemenang utama ASN 2018, Amy dan Rafiq masing-masing menerima wang tunai RM20,000, selain dua tiket penerbangan kelas perniagaan daripada Malaysia Airlines ke Brisbane (Olahragawan) serta Perth (Olahragawati).

Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi pula dinobatkan selaku Olahragawan Paralimpik Kebangsaan selepas melakar kejayaan membanggakan pada temasya Sukan Para Asia di Jakarta tahun lepas dengan menyumbang tiga pingat emas selain memperbaharui rekod dunia dan juga Asia.

Manakala Siti Noor Iasah Mohd Ariffin dinobatkan selaku Olahragawati Paralimpik Kebangsaan yang berjaya menyumbang pingat emas Sukan Para Asia dalam acara 400m T20 selain memperbaiki rekod temasya.

Ridzuan dan Iasah turut menerima dua tiket penerbangan kelas perniagaan daripada Malaysia Airlines ke Seoul (Olahragawan Paralimpik) dan Hong Kong (Olahragawati Paralimpik).

Pasangan Adrian Ang dan Tun Ameerul Luqman Al Hakeem pula di anugerahkan Pasukan Lelaki Kebangsaan manakala gandingan Cheong Jun Hoong / Pandelela Rinong meraih gelaran Pasukan Wanita Kebangsaan.

Anugerah Jurulatih Lelaki Kebangsaan pula menjadi milik ketua jurulatih skuad boling tenpin negara, Holloway Cheah.

Datuk Sieh Kok Chi dan Dr S.Radha Krishnan (Persatuan Sukan Orang Buta Malaysia) pula diumumkan penerima Anugerah Kepimpinan manakala Datuk Rahim Razali dan Hanifah Yoong Yin Fah (Ski Air) menerima Anugerah Khas.

Go to top