BUKIT MERTAJAM, 21 Julai – Penganjuran program FitMalaysia ini merupakan program yang dirancang secara strategik oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berteraskan matlamat merakyatkan sukan untuk semua daripada peringkat akar umbi serta membudayakan sukan untuk kesejahteraan dan kesepaduan di negara ini. FitMalaysia 2019 di Negeri Pulau Pinang bertempat di Kompleks Sukan & Rekreasi MPSP, hari ini.

Bermula 2019, KBS telah membuat nilai tambah di dalam pelaksanaan Program FitMalaysia berdasarkan 3 elemen iaitu Movement, Branding dan Slogan. Movement sebagai satu “Gerakan Nasional Sukan Untuk Semua”untuk menjadikan Malaysia menuju ke arah negara bersukan (sporting nation) di samping menerapkan semangat Olympic ideal. Seterusnya, daripada perspektif branding, FitMalaysia sebagai sebuah jenama yang ideal bagi membangkitkan semangat untuk menjalani gaya hidup sihat dan aktif. Slogan “Let’s Get Fit” pula dipilih untuk memberikan motivasi untuk kekal cerdas dan cergas menjalani urusan seharian kita.

Lebih menarik lagi, tiga komponen utama diberi penekanan dalam penganjuran FitMalaysia iaitu FitMy App,FitMy Facilities dan FitMy Programmes. Satu aplikasi pintar akan diperkenalkan melalui FitMy App yang menawarkan perkhidmatan penjejakan kecergasan, mata ganjaran, tempahan fasiliti Sukan dan banyak lagi dan FitMy App dicadangkan untuk dilancarkan sempena sambutan Malaysia Sport Challenge (MySC) iaitu pada 12 Oktober 2019. Manakala FitMy Facilities pula menawarkan perkhidmatan tempahan penggunaan fasiliti sukan di bawah KBS serta private partnership bersama pemilik sektor swasta bagi mendaftarkan kemudahan mereka di bawah program FitMalaysia. FitMy Programmes pula adalah merujuk kepada destinasi penganjuran jelajah FitMalaysia mengikut lima (5) zon yang telah ditentukan pada tahun ini. Antara beberapa lokasi yang telah diumumkan sebagai lokasi jelajah FitMalaysia dengan mengambil kira zon penganjuran iaitu Selangor (zon tengah) yang telah diadakan pada 24 Mac 2019 , di Terengganu (zon pantai timur) telah berlangsung pada 22 Jun 2019 dan kini di Pulau Pinang (zon utara) seterusnya di Sabah (zon timur Malaysia) terakhir bagi tahun ini di Johor (zon selatan).

FitMalaysia 2019 di Pulau Pinang telah dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut dihadiri oleh YB Steven Sim Chee Keong, Timbalan Menteri Belia dan Sukan bersama YB Tuan Soon Lip Chee, Exco Belia dan Sukan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta YBrs. Dr. Waitchalla R.R.V Suppiah, Ketua Setiausaha Kementerian.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Program FitMalaysia 2019 yang telah diadakan di Negeri Selangor dan Negeri Terengganu telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan. Hampir 17,600 orang telah terlibat di dalam penganjuran kedua-dua program tersebut dan sambutan masyarakat terhadap program FitMalaysia ini amat membanggakan dan pelaksanaannya sentiasa di tunggu-tunggu. Malah penganjuran FitMalaysia di Negeri Pulau Pinang ini menampilkan kelainan dengan buat julung kalinya kita akan diperkenalkan dengan lagu rasmi FitMalaysia iaitu #LetsGetFit dan satu gerakan aerobik yang dinamakan Aerodance FitMalaysia. Selain itu, sambutan aktiviti utama iaitu Fun Ride (30km) dan Fun Run (5km) juga adalah sangat menggalakkan dalam kalangan warga Pulau Pinang.

Go to top