PUTRAJAYA, 16 Julai 2019 – Seramai 3,190 tenaga mahir lepasan Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) Malaysia akan bergraduasi dan diberi pengiktirafan rasmi dalam peringkat Diploma Lanjutan, Diploma dan Sijil di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya hari ini. Kadar keboleh pasaran graduan ILKBS (2018) yang mendapat pekerjaan dalam tempoh 6 bulan selepas tamat latihan adalah sebanyak 93% dan ini membuktikan graduan ILKBS sentiasa tersedia bagi mengisi tenaga mahir negara.

Teknologi Mekanikal (Alatan dan Acuan, Pemesinan dan Kimpalan) adalah pecahan tertinggi graduan yang tamat pada kali ini diikuti Teknologi Elektrik (Pendawaian, Penjaga Jentera Elektrik, Penyelenggaraan Air-Cond) dan Teknologi Automotif (Penyelenggaraan Kereta, Penyelenggaraan Jentera Berat, Penyelenggaraan Kenderaan Perdagangan dan Semburan Cat Automotif).

Anugerah Khas Menteri (kategori Industri) pada kali ini diberikan kepada Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (PERODUA) melalui anak syarikatnya Perodua Sales Sdn. Bhd.  Di atas sinergi yang diberikan dalam memperkasa pelajar-pelajar ILKBS. Selain penajaan latihan kepada pelajar-pelajar ILKBS, PERODUA juga memperkenalkan beberapa modul komprehensif primari yang dibentuk bagi penambahbaikan kurikulum bidang automotif sedia ada sekaligus menjadikan tempoh latihan dan pembelajaran pelajar lebih singkat dan lebih berkesan. Pihak syarikat juga telah mewujudkan pusat kecemerlangan Body and Paint (B&P) PERODUA di IKTBN Chembong bagi membantu latihan dan kecekapan pelajar ILKBS.

Anugerah Khas Menteri (kategori Individu) pula diberikan kepada Thinakaran Narayanan yang merupakan tenaga pengajar vokasional di IKTBN Sepang. Sebagai seorang pelatih, sumbangan beliau di dalam bidang pembangunan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) tidak dapat dinafikan. Beliau kini sedang melanjutkan pelajaran dalam Sarjana Kejuruteraan Pembuatan dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Beliau telah diperakui sebagai instruktur bertauliah (Train the Trainer) oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) -PETRONAS dalam bidang Kesihatan dan Keselamatan & Alam Sekitar.

FaLang translation system by Faboba