SHAH ALAM, 22 JUL 2019 -  Institut Sukan Negara (ISN) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama dalam bidang sains, perubatan dan teknologi sukan. MoU ini diadakan dengan objektif mempertingkatkan prestasi dan pencapaian atlit negara.

UiTM diwakili Naib Kanselor, Prof. Emeritus Dr. Mohd Azraai Kassim manakala ISN diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, En. Ahmad Faedzal Md Ramli dalam majlis yang diadakan di Dewan Anjung Sri Budiman (Annex), UiTM.

Perjanjian disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu juga membolehkan pertukaran kepakaran antara UiTM dan ISN membabitkan ahli akademi, penyelidikan, pelajar serta kakitangan bagi tujuan akademi juga penyelidikan.

Kolaborasi antara kedua pihak ini akan dilaksanakan lebih menyeluruh dan merentasi pelbagai bidang ilmu seperti Kejuruteraan Sukan, Sains Sukan dan Perubatan Sukan. UiTM telah melaksanakan penyelidikan dalam bidang teknologi, perubatan dan Sains Sukan berjaya menghasilkan beberapa inovasi yang boleh dibanggakan. Antara inovasi tersebut adalah sistem pemantauan yang dipanggil ‘Biomechanical Injury Risk Assessment Procedure’ berteraskan kecerdasan buatan sukan dan ‘Corecentrix’ bagi mengumpul data dalam latihan fizikal.

Selain itu, ‘iCobra’, ‘Activride’ dan ‘Virtual Cardio’ juga adalah inovasi dibangunkan penyelidik di UiTM.

FaLang translation system by Faboba