TAWAU, 04 Ogos 2019 - Program Fit Malaysia adalah program yang dirancang secara strategik oleh KBS berteraskan matlamat merakyatkan sukan untuk semua dari peringkat akar umbi serta membudayakan sukan untuk kesejahteraan dan  kesepaduan rakyat tanpa mengira usia, agama, bangsa dan latar belakang. Negeri Sabah telah menjadi lokasi pelaksanaan Fit Malaysia sebanyak 2 kali iaitu pada tahun 2014 di Teluk Likas, Kota Kinabalu dan pada tahun 2016 bertempat di Padang Bandaran Sandakan. Fit Malaysia yang diadakan pada hari ini merupakan julung kalinya diadakan di daerahTawau.

Pada tahun ini, KBS telah membuat nilai tambah terhadap pelaksanaan Program Fit Malaysia berdasarkan 3 elemen iaitu Movement, Branding dan Slogan. Movement adalah satu “Gerakan Nasional Sukan Untuk Semua” dalam menjadikan Malaysia kearah Negara bersukan (sporting nation) di samping menerapkan semangat Olympic ideal. Daripada perspektif branding pula. Fit Malaysia merupakan sebuah jenama yang ideal dengan pengunaan tagline “Let’s Get Fit” dalam memberikan motivasi untuk kekal cerdas dan cergas sepanjang menjalani urusan seharian kita.

Fit Malaysia 2019 di Sabah telah dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Ia turut dihadiri oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal (KetuaMenteri Sabah), YB Steven Sim Chee Keong (Timbalan Menteri Belia dan  Sukan) dan YB Phoong Jin Zhe (Menteri Belia dan Sukan Sabah). Fit Malaysia pada kali ini menyaksikan beberapa aktiviti utama seperti Fun Ride (10km & 20km), Fun Run (5km) dan Family Fun Walk (3km) telah mendapat sambutan yang amat menggalakan daripada penduduk setempat dan para peserta.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Program Fit Malaysia 2019 yang telah diadakan di negeri Selangor, Terengganu, Pulau Pinang dan Sabah telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan. Penganjuran di empat negeri berkenaan telah menyaksikan penglibatan lebih daripada 50 ribu peserta di dalam pelbagai aktiviti sukan, kecergasan dan rekreasi serta pertandingan individu dan berpasukan. Sambutan masyarakat Sabah terhadap program Fit Malaysia ini amat membanggakan dan pelaksanaannya sentiasa di tunggu-tunggu. Ini sekaligus membuktikan bahawa Malaysia berada pada landasan yang tepat kearah mencapai Negara bersukan menjelang tahun 2020.

Dalam pada itu, Johor bakal menjadi lokasi terakhir Fit Malaysia 2019. YB Syed Saddiq turut mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya warga Johor dalam memeriahkan sambutan Fit Malaysia yang bakal dilaksanakan di negeri tersebut.

FaLang translation system by Faboba