KUALA LUMPUR, 19 SEPTEMBER 2019 - Juara dunia 2018, Muhammad Rafiq Ismail dan Sin Li Jane antara lapan pemain yang akan menggalas cabaran negara ke Sukan SEA Filipina November ini.

Perkara itu diumumkan jurulatih kebangsaan, Holloway Cheah pada sidang media Team Malaysia di House Of Champions, Majlis Sukan Negara Bukit Jalil.

Jelas Holloway, pemilihan Rafiq dan Li Jane yang diumumkan lebih awal berbanding pemain lain kerana kedua-dua mereka mempunyai kelebihan bermain di pelbagai permukaan lorong.

"Kita sedang mencari pasukan terbaik tapi malangnya jenis lorong masih belum diumumkan. Itu merupakan isu utama dalam sukan boling. Jadi kita masih mencari siapa pemain terbaik untuk dipilih berdasarkan kepada jenis lorong itu," katanya.

Enam lagi pemain akan dipilih oleh Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) selepas penganjur mengumumkan jenis lorong yang bakal digunakan pada temasya dwitahunan itu.

MTBC sebelum ini mengumumkan sasaran empat pingat emas daripada sembilan acara yang akan dipertandingkan pada temasya sukan itu.

Pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, skuad negara meraih tujuh daripada 11 pingat emas, selain memenangi empat perak dan tiga gangsa.

FaLang translation system by Faboba