PUTRAJAYA, 24 Oktober 2019 – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) buat julung kalinya menganjurkan Simposium Kemahiran ILKBS 2019 (SKIL’19) bertujuan memperkasa tenaga pengajar Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dengan ilmu dan maklumat mutakhir dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 serta mengiktiraf kerjasama strategik di antara KBS, agensi dan industri.

Simposium sehari ini menghimpunkan seramai 300 orang tenaga pengajar ILKBS dan disertai wakil dari pelbagai agensi latihan awam dan swasta seperti dari Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Majlis Amanah Rakyat (MARA), German-Malaysia Institute (GMI), Malaysian France Institute (MFI), Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti, dan Bahagian Pendidikan Teknikal dan Vokasional (BPTV). 

Majlis perasmian SKIL’19 disempurnakan oleh YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Menteri Belia dan Sukan dan turut hadir ke majlis perasmian adalah Pengurusan Tertinggi Kementerian Belia dan Sukan serta agensi TVET yang lain. Pada majlis ini juga beliau turut menyampaikan I-Trainer Award kepada tiga orang pengajar ILKBS bagi kategori I-Excellent Award, I-Inspire Trainer Award dan I-Innovation Award kepada para pengajar yang telah menunjukkan kecemerlangan dan mengharumkan nama Kementerian di peringkat nasional dan antarabangsa.

Disamping itu, SKIL’19 juga merakam sejarah tersendiri apabila lima buah agensi dan industri bersetuju untuk menjalinkan kerjasama bagi meningkatkan peluang latihan industri pelajar dan pengajar, khidmat nasihat teknikal serta peluang pekerjaan kepada graduan. Majlis Pertukaran Penyataan Persefahaman ini melibatkan syarikat besar seperti Volvo Malaysia Sdn. Bhd, Sapura Secured Technologies Companies, Malaysia Industry Association (MAIA) serta Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia (Pride). 

Pada simposium ini juga, lima orang panel jemputan mewakili industri dan agensi termasuk pihak BAE System International, United Kingdom juga turut hadir dan berkongsi maklumat dari aspek pelaksanaan berkaitan Revolusi Industri 4.0 dan TVET.

SKIL’19 berakhir dengan Sesi Way Forward Networking bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Steven Sim Chee Keong, turut hadir adalah Pengurusan Tertinggi KBS serta 16 rakan industri bagi membincangkan cabaran baharu serta keperluan akan datang dalam menyiapkan skill set berguna untuk melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi sesuai dengan kehendak industri.
 
Go to top