SEPANG, 13 November 2019--Seramai 45 orang perantis Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Panasonic Industrial Devices Malaysia Sdn Bhd (PIDMY) dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia dan Diploma Kemahiran Malaysia dari Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bertempat di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Sepang, hari ini.

Program perantisan SLDN ini dijayakan tiga institusi seliaan ILKBS iaitu IKTBN Sepang, IKTBN Bukit Mertajam dan IKBN Seri Iskandar.

Antara bidang kursus yang terlibat adalah Kursus Operasi Suntikan Acuan Plastik, Kursus Perkhidmatan Kejuruteraan Automasi Industri dan Kursus Pembangunan Produk Elektronik.

Melalui pelaksanaan program ini, teknokrat dan pekerja mahir dapat dihasilkan bertepatan dengan keperluan negara bagi meningkatkan tahap dan jumlah tenaga kerja mahir diperingkat industri dan sektor elektronik sekaligus meminimumkan kebergantungan kepada tenaga pakar dan pekerja mahir asing.

Usaha sama ini merupakan susulan dari kerjasama strategik yang telah termeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) diantara KBS dan Panasonic sejak tahun 2017.

Sebagai sebuah syarikat yang berpengalaman luas dalam penghasilan komponen elektronik, PIDMY percaya kompetensi teknikal dan pendidikan TVET dalam kalangan pekerjanya dapat direalisasikan melalui program latihan yang ditawarkan pihak ILKBS.

Majlis graduasi ini telah dijayakan oleh Dato Dr. Hjh. Wasitah binti Hj. Mohd Yusof, Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Kementerian Belia dan Sukan bagi mewakili tetamu kehormat YBhg. Dr. Waitchalla R.R.V Suppiah Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan.

Go to top