BANGI, 21 November 2019 - Kontinjen Malaysia sasar kutipan 70 pingat emas, 51 perak dan 105 gangsa pada Sukan SEA ke-30 di Filipina, penghujung bulan ini.

Sasaran itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan,Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sidang media selepas menyempurnakan upacara penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan ketua kontinjen Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Jelas Syed Saddiq, jika sasaran 70 emas itu berjaya dicapai, ia akan menyaksikan Malaysia di kedudukan empat terbaik daripada 11 negara ASEAN yang bertanding pada kali ini.

Tambah Syed Saddiq empat sukan iaitu olahraga, gimrama, memanah dan boling padang, selain beberapa sukan baharu seperti sukan elektronik (Esports) dan sukan berhalangan (obstacle sports) dijangka menjadi penyumbang utama kepada kutipan pingat emas kontinjen negara pada Sukan SEA kali ini.

Sementara itu, atlet tenpin boling negara, Rafiq Ismail dinamakan sebagai pembawa Jalur Gemilang buat kontinjen Malaysia di Filipina nanti.

Kontinjen negara kali ini diwakili 773 atlet dan 339 pegawai yang akan mengambil bahagian dalam 52 daripada 56 jenis sukan dipertandingkan di tiga kluster, iaitu Manila, Clark dan Subic.

Pada majlis yang sama, turut berlangsung penyerahan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) MSN berjumlah RM1,678 285 kepada 16 jenis sukan yang berjaya mengharumkan nama negara dalam beberapa kejohanan antarabangsa pada tahun ini.

Go to top