NILAI, 13 FEBRUARI 2020 - Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang sasar hadiah pingat emas buat Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti.

"Sejak daripada awal membabitkan diri dalam dunia berbasikal, pendirian saya tidak pernah berubah iaitu mahu memenangi emas untuk Malaysia. Saya akan cuba sehabis baik", katanya.

Sasaran itu jelas melebihi apa yang ditetapkan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) pada temasya sukan terbesar dunia yang akan membuka tirai hujung Julai ini yang meletakkan pingat perak buat The Pocket Rocketman.

Dalam pada itu, Azizul bersama rakan sepasukan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Fadhil Mohd Zonis kini dalam persiapan ke Kejohanan Dunia di Berlin, Jerman yang bermula 26 Februari sehingga 1 Mac depan.

Skuad berbasikal trek negara dalam misi memburu dua slot individu bagi acara keirin dan pecut di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Azizul turut menjelaskan beliau kini berada di prestasi terbaik untuk ke Jerman dan mahu mengulangi sejarah pada 2017 dimana beliau mencipta sejarah muncul juara dunia pada 2017 di Hong Kong menerusi acara keirin.

Go to top