KUALA LUMPUR, 20 FEBRUARI 2020 - RM22.5 juta diperuntukan Kementerian Belia dan Sukan buat persediaan atlet ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan dana di bawah program Road To Tokyo (RTT) itu adalah bermula dari Januari hingga Ogos tahun ini membabitkan sembilan acara sukan dengan berbasikal memperoleh dana terbesar iaitu sebanyak RM8,378,654.

Lapan lagi sukan yang menerima dana itu adalah badminton (RM6,454,644), akuatik terjun (RM2,323,806), pelayaran (RM1,962,095), memanah (RM940,710), golf (RM738,000), gimnastik artistik (RM644,905), karate (RM588,975) dan akuatik renang (RM477,000).

"Jika ada keperluan pada pecutan terakhir nanti kami akan perhalusi untuk dana tambahan", katanya selepas mempengerusi Mesyuarat Ahli Majlis MSN, Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia 2020 dan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Program Road To Tokyo 2020.

Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos ini.

Dalam ada itu, Syed Saddiq turut mengumumkan Kelantan bakal menjadi tuan rumah Sukma buat kali pertama pada 2024.

"Kelantan tidak pernah diberikan peluang menganjurkan SUKMA kerana dengan penganjuran tersebut akan ada pembangunan sukan secara menyeluruh di Kelantan".

Untuk edisi 2022, hak penganjuran masih belum dimuktamadkan kerana terdapat cadangan penggiliran tuan rumah untuk diberikan kepada MSN selain terdapat beberapa negeri telah menawarkan diri sebagai tuan rumah bagi edisi tersebut.

Go to top