SELANGOR, 18 FEBRUARI 2020 - Tahun 2019 merupakan tahun pertama Projek Reben Kuning dilaksanakan dan telah berjaya mencatatkan seramai 24,234 orang penyertaan melalui program-program yang telah diadakan. Pelbagai inisiatif telah diwujudkan pada tahun pertama pelaksanaan pilot projek ini bagi membantu belia berisiko yang merangkumi bekas tahanan, bekas banduan, Orang Diselia (ODS) dan pelatih Sekolah Henry Gurney untuk membina kehidupan yang lebih baik selepas menjalani hukuman.

Projek Reben Kuning digerakkan oleh lima (5) kluster iaitu Kluster Kemahiran, Kluster Sukan, Kluster Keusahawanan, Kluster Kebolehpasaran dan Kluster Kempen Kesedaran. Program yang dilancarkan pada 19 Oktober 2018 oleh YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan di Penjara Sungai Buloh ini bertujuan untuk memberi peluang kedua kepada golongan terpinggir ini melalui platform kemahiran, sukan dan keusahawanan agar mereka boleh kembali ke pangkuan masyarakat dengan kehidupan yang lebih baik. Usaha ini selari dengan Dasar Belia Malaysia (DBM) untuk memperkukuh potensi dan menyerlahkan potensi modal insan belia sebagai pemacu pembangunan strategik negara. Selain itu, projek ini diharap dapat menghapuskan stigma negatif masyarakat terhadap golongan tersebut dan membuka peluang kedua kepada golongan ini.

Konvensyen Reben Kuning dan Majlis Pelancaran Tahun Kedua Projek Reben Kuning 2020 yang diadakan pada hari ini adalah bertujuan untuk menggalakkan partisipasi institusi awam, swasta, NGO, pertubuhan belia dan masyarakat dalam memberi peluang kedua kepada belia berisiko. Usaha ini juga diharap dapat membantu golongan belia ini kembali dan berbakti kepada masyarakat tanpa dibelenggu kesilapan masa lalu yang tidak seharusnya menjadi bebanan kepada mereka.

Bagi tahun kedua Projek Reben Kuning, KBS mengambil langkah dengan mengketengahkan tujuh (7) inisiatif baru iaitu, pembinaan sahsiah dan jati diri dalam kalangan peserta, latihan intensif kemahiran, latihan intensif keusahawanan, peluang kerjaya melalui sukan, program job matching, advokasi sistem sokongan masyarakat dan 12 plan strategik promosi Projek Reben Kuning.

Pihak KBS merakamkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang telah bersama-sama menjayakan tahun pertama program ini antaranya Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara Malaysia, Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB), Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB), Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Syarikat MKRS Group Sdn Bhd, Adiratna Wealth  Resources  dan rakan strategik yang terlibat di atas kerjasama yang telah diberikan. KBS menyeru kepada pihak industri, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang awam untuk tampil dan bergerak seiring bersama pihak Kerajaan bagi membantu dan bersama-sama menggalas tanggungjawab sosial untuk memberikan sinar dan #PeluangKedua kepada mereka yang telah tersasar.

Go to top