DUSUN TUA, APRIL 2020 - Memahami tugasan kritikal petugas-petugas barisan hadapan, Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) tampil menghasilkan Personal Protective Equipment (PPE) bagi menampung keperluan petugas di klinik dan di hospital kerajaan.

Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican berkata, sumbangan tenaga dan kepakaran dalam bidang pembuatan amat diperlukan pihak kerajaan pada waktu ini. Walaupun jumlah pengeluaran fasa pertama ini tidak besar (2,500 set PPE Head Cover dan 200 set Face Shield) namun ia mampu memberi sedikit kelegaan kepada petugas-petugas hadapan dan pihak kerajaan. Beliau berkata demikian sempena lawatan kerja ke IKTBN Dusun Tua untuk melihat sendiri proses penyediaan peralatan PPE Face Shield yang dibuat menggunakan kepakaran dan peralatan institut tersebut.

Di samping IKTBN Dusun Tua, sebuah lagi ILKBS yang sedang giat menghasilkan peralatan PPE adalah IKBN Jitra. Sehingga kini sebanyak 2500 helai PPE HEAD COVER telah berjaya disiapkan dari sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dibantu oleh kakitangan IKBN Jitra sendiri. 

Beliau juga berkata, pihaknya juga telah menerima panggilan dan ucapan terima kasih daripada Hospital Jitra berkenaan usaha murni ini. “Kita akan tingkatkan penyelarasan institusi di bawah seliaan KBS bagi menghasilkan lebih banyak produk PPE untuk memenuhi keperluan hospital dan klinik kesihatan berdekatan”.

Selain daripada IKTBN Dusun Tua dan IKBN Jitra, terdapat beberapa lagi ILKBS yang mempunyai kapasiti dari segi kepakaran dan kemudahan sedang dalam persiapan bagi menghasilkan produk-produk PPE seperti IKTBN Sepang, IKBN Kuala Langat, IKTBN Temerloh, IKTBN Pagoh, IKBN Wakaf Tapai, IKTBN Bukit Mertajam dan IKBN Peretak. Diharap segala sumbangan kemahiran dan kepakaran daripada ILKBS dapat membantu sedikit sebanyak pasukan barisan hadapan dalam menangani isu Covid19.

Turut hadir dalam lawatan tersebut, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk M Noor Azman bin Taib, bersama Pengarah Kemahiran, Pembangunan Kemahiran Belia, Dato’ Dr. Hajah Wasitah binti Haji Mohd Yusof.

#StayCalmStayHome #ILKBSPrihatin #BPKBPrihatin #KBSPrihatin
#COVID19 #TVETKBS #ILKBS #IKTBN #IKBN #AKBG

Go to top