SEPANG, 20 APRIL 2020 – Bagi menampung permintaan Personal Protective Equipment (PPE) yang semakin meningkat, Kementerian Belia dan Sukan melalui Institusi Latihan Kemahiran Belia Dan Sukan (ILKBS) telah mengadakan kerjasama strategik bersama Pertubuhan Tweet Perubatan Malaysia (MedTweetMY) dalam penghasilan produk-produk PPE untuk kegunaan barisan hadapan menghadapi wabak Pandemik Covid-19. Satu majlis penyampaian peralatan PPE telah diadakan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Sepang yang turut dihadiri oleh YB Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, pengurusan tertinggi KBS dan warga kerja IKTBN Sepang. Dalam majlis ini YB Menteri menyerahkan 3500 unit PPE face shield dan 2000 unit PPE degradable single use plastic apron bagi fasa pertama penghasilan yang dihasilkan oleh IKTBN Sepang dan IKTBN Pagoh untuk diserahkan kepada pihak MedTweetMy. Sementara itu, pihak MedTweetMy pula menyerahkan sumbangan RM100,000.00 kepada pihak ILKBS bagi menampung kos bahan yang diperlukan dalam penghasilan pelbagai peralatan PPE oleh ILKBS. Selain face shield dan  degradable single use plastic apron, pihak ILKBS juga giat menghasilkan isolation gown, washable mask, aerosol box, shoe cover dan head cover di beberapa buah ILKBS yang lain.
Go to top