PUTRAJAYA, 15 JUN 2020 – Setelah kejayaan penganjuran Debat Rakan Muda kategori Bahasa Melayu pada bulan Mei yang lepas, pertandingan debat secara dalam talian kategori Bahasa Inggeris juga tidak kurang hebatnya. Kepetahan dan ketajaman para pendebat muda dalam mempertahankan pendirian masing-masing semestinya telah menyajikan satu persembahan yang amat baik sepanjang ianya berlangsung. Pertandingan seumpama ini merupakan antara inisiatif terawal yang diambil oleh KBS dalam menyediakan platform buat golongan muda memaksimakan potensi mereka tatkala pandemik COVID-19.

Program anjuran KBS melalui Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara dengan kerjasama Muafakat MARA Malaysia ini bermatlamat untuk membudayakan perdebatan sebagai kaedah anak muda mengetengahkan idea dengan bernas dan profesional sekaligus membawa dimensi baharu pelaksanaan program secara dalam talian.

Pertandingan yang berlangsung pada 4 hingga 7 Jun yang lalu menampilkan kehebatan 16 pasukan yang terdiri daripada anak muda berumur 15 hingga 20 tahun telah disiarkan secara langsung menerusi FB Live di platform Debat Rakan Muda, KBSMalaysia serta Rakan Muda.

Juara Debat Rakan Muda kategori Bahasa Inggeris telah dimenangi oleh pasukan Don’t Lose Octos. Naib johan disandang oleh pasukan Vijaya Grocer, manakala, pasukan TBC & Digital Poverty beroleh tempat ketiga bersama. Pendebat terbaik telah dimenangi oleh Saudara Kuhan Karttikeyn dari pasukan Vijaya Grocer. Pertandingan akhir yang berlangsung pada 7 Jun telah disempurnakan secara dalam talian oleh YB Senator Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal, Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Tahniah diucapkan buat para pemenang!

Go to top