SHAH ALAM, 24 Julai 2020 - Sokongan yang berterusan menjadi perkara utama yang diberi perhatian kerajaan dalam usaha memangkin pembangunan belia seterusnya ke arah memberi penyelesaikan terhadap isu-isu membabitkan golongan itu di negara ini.

Pengarah Kemahiran Pembangunan Kemahiran Belia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Dr Wasitah Mohd Yusof berkata, bagi merealisasikan matlamat tersebut, inisiatif perlaksanaan pelbagai program menjadi nadi dalam usaha berterusan oleh KBS sendiri.

Bagaimanapun menurutnya, tidak dinafikan KBS berdepan cabaran dalam konteks memastikan keberkesanan inisiatif yang dijalankan terhadap pembangunan belia secara keseluruhannya khususnya ketika negara masih sedang melalui ancaman wabak koronavirus (Covid-19).

"Isu yang kita perlu lihat untuk membangunkan belia ialah satu perkara yang berterusan dan ditangani dari sudut perlaksanaannya mahupun perancangannya dengan konsisten seterusnya menilai (keberkesanannya).

"Misalnya program bagi pasca Covid-19, kita menangani isu keresahan belia dalam ekonomi,"katanya selaku penalis Wacana siri 182 bertajuk Masalah belia: Isu yang tak sudah di Studio F, Karangkraf di sini semalam.

Katanya, akses untuk belia mendapat latihan dan kemahiran yang diperlukan industri antara yang diberi perhatian.

"Kerana itu kita lihat Program Skim Perantisan Nasional (SPN) bersesuaian ketika ini. SPN dilancarkan dengan sokongan kementerian utama seperti Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kerja Raya.

Ujar beliau lagi, kerajaan membentuk potensi belia dengan meningkatkan daya kerjasama dan daya saing belia supaya menjadi warga masa depan yang dapat menyumbang kepada negara.

"Kita tidak boleh menyediakan masa depan mereka tapi boleh menyediakan belia untuk masa depan.

"Bermakna, dalam proses membangunkan belia, faktor sokongan sangat penting. Sama ada sebagai aset luaran serta pembentukan belia positif kerana belia harus disediakan kerana mereka sebagai aset,"katanya. -SH
Go to top