Bukit Jalil, 23 Julai 2020 - ADAMAS dengan kerjasama Institut Sukan Negara (ISN) telah mengadakan taklimat berkaitan anti-doping kepada atlet dan juga staf kejurulatihan sukan menembak Malaysia.

Seramai 19 peserta terdiri daripada atlet elit dan pelapis kebangsaan, barisan kejurulatihan serta pegawai sains sukan daripada ISN telah terlibat dalam taklimat ini yang disampaikan oleh Penolong Pengarah bahagian Pendidikan ADAMAS, Encik Mohd Hafizuddin bin Baki. Taklimat ini bertujuan untuk memberi maklumat tentang anti-doping dan kesedaran kepada atlet dan jurulatih Malaysia akan kepentingan bahaya doping. Selain itu, taklimat ini mendedahkan atlet-atlet dengan bahan-bahan terlarang yang disenaraikan dalam senarai larangan WADA yang dikemaskini setiap tahun.

Taklimat ini adalah taklimat pertama yang melibatkan perjumpaan fizikal setelah Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan. Pihak ISN bersama ADAMAS sentiasa memastikan SOP sentiasa dipatuhi dengan mengamalkan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka ketika taklimat sedang dijalankan. Walaupun sesi taklimat anti-doping bersama atlet telah lama dijalankan, pihak ADAMAS akan sentiasa memberikan maklumat terbaru mengenai anti-doping agar atlet-atlet serta staf kejurulatihan sentiasa peka akan maklumat terkini melibatkan anti-doping.

Kesimpulannya, program taklimat ini sentiasa disambut baik oleh para atlet dan staf kejurulatihan kerana ia sangat penting dalam memastikan sukan di Malaysia bebas dari doping dan seterusnya menjaga nama baik Malaysia.

Go to top