KUALA LUMPUR, 24 OGOS 2020 - Menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-63, 31 Ogos depan, Majlis Sukan Negara telah mengadakan penyerahan jalur gemilang kepada atlet negara dan anggota MSN hari ini.

Ketua Pengarah MSN, Dato' Ahmad Shapawi Ismail menyerahkan bendera kepada atlet para olahraga, Muhamad Ziyad Zolkefli, atlet para badminton, Cheah Liek Hou, atlet karate, R.Sharmendran dan atlet skuasy, Aifa Azman.

"Selari dengan semangat kemerdekaan, kita pamer semangat itu melalui mengibarkan jalur gemilang sekerap mungkin dan kita minta semua atlet serta pegawai MSN melekatkan bendera Malaysia di kenderaan masing-masing".

Jelas Dato' Ahmad Shapawi, biarpun sambutan tahun ini diadakan secara sederhana berikutan wabak COVID-19, namun semangat yang dipamerkan amat bermakna dalam meraikan sambutan hari kebangsaan tahun ini.

Bagi atlet para olahraga negara, Muhamad Ziyad Zolkefli pengorbanan sebagai atlet negara amat bermakna buat dirinya yang hampir 10 tahun membawa nama negara ke pentas dunia.

"Saya akan teruskan berlatih dan mengharumkan nama negara dan menjadi atlet terbaik di dunia".

Atlet skuasy negara, Aifa Azman pula mengakui amat gembira dan berbesar hati menerima jalur gemilang dari Ketua Pengarah MSN.

Go to top