PAHANG – Merentasi kebiasaan, Rakan Muda tampil dengan kaedah baharu dalam menarik minat anak muda untuk mendekati alam semula jadi. Menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, satu pertandingan secara dalam talian iaitu Rakan Muda Hijau telah dilaksanakan melibatkan anak muda berumur 15 hingga 25 tahun. Pertandingan ini menjadikan Instagram sebagai platform bagi para peserta memuat naik hasil suntingan video mereka yang berkonsepkan Gaya Hidup Rakan Cinta Alam.

Pertandingan Rakan Muda Hijau telah dilaksanakan bermula 3 hingga 30 Ogos 2020 yang mendapat kerjasama daripada Persatuan Belia Pamah Rawas, Ulu Dong, Raub ini berjaya menarik seramai 128 penyertaan dari seluruh negara. Bukanlah sesuatu yang mudah bagi para juri untuk menilai karya para peserta bahkan kreativiti serta informasi yang disampaikan mereka amat menarik dan di luar kotak. Apa yang lebih penting adalah pertandingan seumpama ini mampu membangkitkan minat anak muda terhadap sesuatu perkara yang berkaitan seperti alam sekitar, tumbuh-tumbuhan dan pelbagai lagi.  

Pertandingan yang dijalankan ini merupakan salah satu inisiatif yang dirangkumkan dalam program Rakan Muda Aktif anjuran Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara. Program ini menggariskan 6 Gaya Hidup Rakan Muda Aktif iaitu Rakan Cinta Alam, Rakan Inovasi, Rakan Seni Budaya, Rakan Wira Mahir, Rakan Masyarakat serta Rakan Kecergasan. Setiap peserta yang menyertai pertandingan ini bebas mengukir kreativiti masing-masing dan berpeluang memenangi hadiah yang ditawarkan dengan memenuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan.

Tahniah diucapkan buat semua yang telah menyertai dan menjayakan pertandingan ini. Jangan lupa, jadikan Rakan Muda Aktif sebagai satu Gaya Hidup. Gaya Kita, Cara Kita!
Go to top