JOHOR, 1 OKTOBER 2020 – Kini tiada apa yang mustahil dalam mempersembahkan bakat dan kemahiran yang terpendam kepada dunia. Ditambah dengan dugaan wabak Covid-19, ia mungkin dilihat sebagai satu halangan untuk melakukan sebarang aktiviti fizikal mahupun bersemuka. Walaupun begitu, dengan perkembangan teknologi sedia ada, Rakan Muda tampil dengan lebih segar bagi mendampingi anak muda. Ini termasuklah dengan mengadakan pertandingan secara dalam talian seperti DIY Rakan Muda.

Pertandingan ini telah dilaksanakan menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor dan mendapat kerjasama Persatuan Belia Cergas Pontian, Johor. Matlamat utama pertandingan ini adalah untuk mencungkil bakat anak muda berinovasi dan berani tampil dengan idea baharu serta di luar kotak. Sebanyak 86 penyertaan dari seluruh negara berjaya diperoleh merangkumi anak muda berumur 15 hingga 25 tahun.

DIY Rakan Muda telah berlangsung bermula 24 Julai hingga 18 September 2020 dan merupakan salah satu inisiatif pertandingan yang dirangkumkan di dalam program Rakan Muda Aktif kelolaan Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara. Program ini menggariskan 6 Gaya Hidup Rakan Muda Aktif iaitu Rakan Cinta Alam, Rakan Inovasi, Rakan Seni Budaya, Rakan Wira Mahir, Rakan Masyarakat serta Rakan Kecergasan. Pelbagai idea menarik dan berinovasi telah dikongsi oleh para peserta menerusi platform media sosial mereka. Pertandingan ini turut menawarkan hadiah wang tunai buat para pemenang.

Tahniah diucapkan buat semua yang telah menyertai dan menjayakan pertandingan ini. Jangan lupa, jadikan Rakan Muda Aktif sebagai satu Gaya Hidup. Gaya Kita, Cara Kita!

Go to top