MELAKA, 28 SEPTEMBER 2020 – Pembayang dan maksud tidak dapat dipisahkan. Umpama aur dan tebing, isi dan kuku serta banyak lagi madah yang terkandung dalam warisan budaya. Tidak dilupakan juga pantun yang telah lama wujud zaman-berzaman bukan sahaja untuk berjenaka malah untuk menasihati. Seni budaya ini tidak wajar ditelan zaman dan seharusnya menjadi mainan terutama sekali buat anak muda kita. Rakan Muda sedar akan potensi yang dimiliki oleh mereka dan oleh sebab itulah tercetusnya idea penganjuran Pertandingan Pantun Rakan Muda Aktif.

Pertandingan ini telah dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka dengan kerjasama MAYC Negeri Melaka. Dalam usaha membudayakan pantun yang semakin pudar di kalangan generasi anak muda pada masa kini, program seumpama ini juga bertujuan untuk merai dan menghargai kepelbagaian budaya yang menghiasi kehidupan masyarakat kita. Pertandingan yang membawa tema Gaya Hidup: Rakan Seni Budaya ini bukan hanya semata-mata fokus kepada sesuatu bangsa atau kaum, tetapi ia perlu dilihat sebagai medium pengetahuan buat seluruh masyarakat yang berpayung di bawah nama Malaysia.

Pertandingan Pantun Rakan Muda ini telah berlangsung bermula 15 Ogos hingga 15 September 2020 dan merupakan salah satu inisiatif yang dirangkumkan di dalam program Rakan Muda Aktif kelolaan Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara. Program ini menggariskan 6 Gaya Hidup Rakan Muda Aktif iaitu Rakan Cinta Alam, Rakan Inovasi, Rakan Seni Budaya, Rakan Wira Mahir, Rakan Masyarakat serta Rakan Kecergasan. Sebanyak 335 penyertaan telah berjaya diperoleh meliputi anak muda yang berumur 15 hingga 25 tahun. Pertandingan ini turut menawarkan hadiah wang tunai buat para pemenang.

Tahniah diucapkan buat semua yang telah menyertai dan menjayakan pertandingan ini. Jangan lupa, jadikan Rakan Muda Aktif sebagai satu Gaya Hidup. Gaya Kita, Cara Kita!
Go to top