PUTRAJAYA, 30 MAC 2021 – Unit Integriti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menganjurkan Sesi Interaktif Integriti KBS dengan topik "Menangani Gangguan Seksual di Kalangan Penjawat Awam". Sesi interaktif yang dilaksanakan secara sembang santai ini diadakan bagi memberi pendedahan dan perkongsian maklumat berkenaan isu gangguan seksual dan pengurusan kes serta prosiding tatatertib ke atas penjawat awam. Panel khas yang dijemput adalah Puan Eizan Azura Binti Zainuddin, Timbalan Pengarah Unit Laporan Ketua Audit Negara dan Operasi Khas, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan YM. Dr. Raja Kamariah binti Raja Mohd Khalid, Pengarah Bahagaian Pembangunan Psikologi Jabatan Pembangunan Wanita, KPWKM. Seramai 40 orang peserta telah menyertai sesi interaktif ini secara fizikal manakala lebih 3,000 penonton dalam talian telah direkodkan melalui akaun Facebook KBS Malaysia.

Diharapkan agar sesi interaktif ini dapat membantu meningkatkan pengetahuan serta kesedaran seluruh penjawat awam dan masyarakat secara am dalam memahami dan seterusnya menangani kes-kes gangguan seksual yang berlaku.
Go to top