SKUAD BERBASIKAL INTAI 13 EMAS
KUALA LUMPUR, 7 OGOS 2017 - Sukan berbasikal negara disasarkan 13 emas, berpotensi antara penyumbang terbesar untuk kontinjen negara di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pengurus pasukan berbasikal negara, Omar Saad, berharap barisan pelumba negara berada pada tahap terbaik dalam merealisasikan sasaran itu. Ujarnya, buat masa ini prestasi ke semua atletnya berada dalam keadaan terbaik sambil mengharapkan masalah kesihatan tidak membelenggu barisan pelumba.

Seramai 16 pelumba disenarai untuk acara trek, manakala 13 dinamakan dalam skuad lebuh raya. Empat pelumba akan bersaing dalam acara BMX.

“Keyakinan merealisasikan 13 pingat emas ini berdasarkan prestasi semasa dipamerkan atlet dalam latihan dan juga beberapa siri perlumbaan selain semangat dalam kalangan atlet.

“Kami berharap kesihatan atlet berada pada tahap terbaik sebelum kejohanan bermula dan tidak akan mengganggu aksi mereka nanti. Kami akan cuba membantu negara muncul juara keseluruhan dengan mengotakan janji 13 emas ini,” katanya.

Untuk rekod, acara trek membabitkan pecut dan endurance di Velodrom Nasional Malaysia dijangka menjadi lubuk emas negara selain dua emas menerusi skuad lebuh raya lelaki yang digalas Terengganu Cycling Team (TSG).

Pada masa sama, Omar turut menggesa atletnya untuk menjadi individu terpenting yang diberikan penghormatan menyanyikan lagu kebangsaan pada temasya Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur nanti.

“Tidak ramai yang berpeluang dan diberikan penghormatan menyanyikan lagu kebangsaan dan upacara menaikkan bendera Malaysia kecuali Yang Dipertuan Agong.

“Jadi saya berharap atlet berbasikal dapat mengambil peluang ini dengan meraih emas untuk negara dan mereka boleh berbangga apabila dapat melakukannya. Rakyat Malaysia seramai 30 juta akan bersorak dengan kejayaan mereka,” jelasnya pada sidang media kontinjen negara di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Turut hadir jurulatih Harnizam Basri, pelumba kejar-mengejar berpasukan, Irwandie Lakasek dan Ju Pha Som Net, yang dijadual bertanding dalam perlumbaan beramai-ramai dan kriterium. Sementara itu, Harnizam berkata, persiapan pasukan kini berjalan lancar dengan atlet menjalani latihan di luar negara seperti Australia dan Thailand.

“Persiapan kini berada di fasa terakhir, pelumba menunjukkan kesungguhan ketika menyertai beberapa perlumbaan yang disertai sebelum ini dan kami mengharapkan segala perancangan berjalan lancar sehingga hari perlumbaan,” katanya.

Dalam senarai yang dikemukakan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menamakan antara lain juara keirin dunia, Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Sahrom dan Fatehah Mustapa.

Disediakan oleh : Adila Mohammad (Majlis Sukan Negara)
Disunting oleh : Unit Komunikasi Korporat KBS
Go to top