BIRMINGHAM TUNTUT AKSI MAKSIMUM PERENANG
KUALA LUMPUR, 7 OGOS 2017 - Jurulatih skuad renang negara, Paul Thomas Birmingham, menjelaskan saingan di pentas Asia Tenggara adalah sangat kompetitif dengan kehadiran atlet yang bertaraf antarabangsa namun ia bukanlah halangan buat anak didiknya untuk turut serta memburu kejayaan.

Baginya, rata-rata beberapa pemenang di Singapura akan menyertai acara pada temasya Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur nanti.

“Kebanyakan pemenang di Sukan SEA Singapura masih lagi atlet pilihan untuk meneruskan kejayaan di sini. Mereka berkemungkinan besar akan mengekalkan emas yang dimenangi.

“Saya mengharapkan atlet negara mampu menampilkan potensi semaksimum mungkin dalam memburu kejayaan dan gembira dengan perkembangan atlet ketika ini,” jelas Birmingham pada sidang kontinjen negara di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Turut hadir pada sidang media ialah pengurus pasukan, Lee Soo Ann serta atlet renang, Welson Sim Wee Sheng dan Phee Jinq En. Antara beberapa perenang pilihan yang bakal beraksi pada temasya di Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur ialah pemenang emas Olimpik Rio Joseph Schooling dan Quah Zheng Wen dari Singapura dengan kedua-dua meraih 10 emas keseluruhan dua tahun lalu di Singapura.

Selain itu, perenang wanita Vietnam, Nguyen Thi Anh Vien yang meraih lapan emas Sukan SEA 2015 dilaporkan akan menyertai 10 hingga 12 acara di Kuala Lumpur. Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) menamakan 23 atlet dalam kontinjen negara, diketuai Welson, perenang veteran Daniel Bego dan Erika Kong Chia Chia. Renang akan diadakan di Pusat Akuatik Nasional di Bandar Sukan Kuala Lumpur pada 21-26 Ogos.

Disediakan oleh : Adila Mohammad (Majlis Sukan Negara)
Disunting oleh : Unit Komunikasi Korporat KBS
Go to top