FORUM BIO YOUTH ENTREPRENEUR
JOHOR BHARU, 13 OKTOBER 2017 – Program forum Bio Youth Entrepreneur sempena Ekspo Johor Berkemajuan 2017 anjuran Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech) telah diadakan di Kota Iskandar. Program ini dijangkakan dapat menjadi platfom bagi bakal usahawan dan usahawan belia sedia ada melalui perkongsian maklumat serta pandangan oleh ahli-ahli panel forum.

Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Dr. Hjh. Wasitah binti Hj. Mohd. Yusof, Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, yang mewakili YBhg. Dato’ Ketua Setiausaha Kementerian Belia & Sukan pagi ini.

Program Bioteknologi ini telah dikenalpasti sebagai penyumbang bukan sahaja terhadap pertumbuhan ekonomi Negara tetapi juga pertumbuhan ekonomi di negeri Johor. Industri Kecil Sederhana atau Small Medium Enterprises (SMEs) pula memainkan peranan yang penting dalam membina ekosistem yang kondusif dalam industri berasaskan bioteknologi. Pembangunan sektor bioekonomi yang semakin pesat ini telah memberikan peluang bagi belia dan usahawan tempatan untuk sama-sama membangunkan perniagaan mereka dengan memanfaatkan peluang yang wujud di sekeliling mereka.

Semakin ramai belia dan usahawan tempatan yang berjaya mengembangkan perniagaan mereka sehingga ke tahap yang sangat membanggakan. Mengikut statistik dari Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) pada tahun 2016, keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) belia adalah 68.1% pada tahap pasaran daerah, 20.1% pada pasaran negeri manakala 9.8% pasaran negara dan 2% telah berjaya menembusi pasaran eksport. Dapat dilihat di sini bahawa masih ramai lagi usahawan di luar sana yang menghadapi masalah dalam memajukan perniagaan mereka. Melihat kepada isu ini, pihak kerajaan, melalui agensi-agensi berkaitan seperti J-Biotech khususnya, telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam membantu usahawan-usahawan tempatan untuk mengatasi masalah yang dihadapi seterusnya membantu meningkatkan keupayaan serta produktiviti perniagaan mereka.

Program Forum Bio Youth Entrepreneur hari ini merupakan suatu program yang bakal memberi impak yang positif kepada belia dan usahawan tempatan terutama di negeri Johor. Menurut kajian dalam Jurnal Pendidikan Malaysia 2016, kecenderungan belia terhadap keusahawanan bergantung kepada pendedahan awal dan latar belakang mereka. Memandangkan belia di Negeri Johor berada di tahap yang sederhana kecenderungannya, program seperti ini dapat menyuntik semangat keusahawanan para belia. Contoh program lain yang sedang dirangka oleh J-Biotech adalah seperti Program Business on Truck iaitu sebuah program bagi mempromosikan perniagaan menggunakan truck.

Selain daripada itu, golongan belia negeri Johor sangat dialu-alukan untuk turut serta di dalam program Bio Youth Communi-preneur (BYCP) yang akan dilancarkan oleh J-Biotech. Program ini bertujuan untuk menggalakkan penglibatan golongan belia di dalam bidang bio-agri dengan menceburi sektor pertanian berteknologi tinggi dengan mengusahakan tanah-tanah terbiar yang dikenalpasti secara berkumpulan dengan penglibatan dari ‘anchor companies’ terpilih yang akan memberi latihan dan tunjuk ajar melibatkan penggunaan teknologi melalui konsep ‘buy-back guarantee’ dengan sokongan dari KBS melalui ILKBS sedia ada.

Konsep ini juga merupakan kesinambungan dari program Bioeconomy Community Development (BCDP) oleh J-Biotech. Keutamaan bagi peserta yang ingin memohon untuk menyertai program ini adalah kepada mereka yang telah mengikuti Kursus Belia Tani anjuran KBS. Oleh itu, golongan belia negeri Johor sangat dialu-alukan untuk menyertai program ini. Golongan belia yang mahu meningkatkan sumber ekonomi serta bersedia menyahut cabaran dinasihatkan agar tidak melepaskan peluang untuk berdaftar bersama J-Biotech melalui program Bio-SMEs untuk melibatkan diri dalam program Bio Youth Communi-preneur.

Disediakan oleh : Fairus Atida Said (Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia)
Disunting oleh : Unit Komunikasi Korporat KBS
Go to top