Cetak
JAKARTA, 26 OGOS 2018 - Datuk Nicol David terus membuktikan kehebatannya selaku ratu skuasy negara dan Asia apabila meraih pingat emas acara individu wanita buat kali kelima berturut-turut di Sukan Asia. Dalam aksi final di Stadium Skuasy Gelora Bung Karno, Nicol terpaksa beraksi dalam lima set (11-13, 11-9, 5-11, 11-6, 11-8) sebelum menewaskan rakan sepasukan, S.Sivasangari sekaligus menghadiahkan pingat emas kedua buat kontinjen negara.

Ini menjadikan Nicol atlet Malaysia paling berjaya dalam sejarah Sukan Asia dengan tujuh emas keseluruhan termasuk dua acara berpasukan. Terdahulu, Nafiizwan Mohd Adnan sumbang gangsa dalam acara individu lelaki. Dalam pada itu, kontinjen negara menambah 3 pingat gangsa menerusi acara karate dan pencak silat. Atlet karate negara, S.Prem Kumar raih gangsa dalam acara kumite bawah 60 kilogram, manakala 2 lagi gangsa hadir menerusi atlet pencak silat, Muhammad Robial Sobri (kelas I) dan Hazim Mohamad (kelas C) apabila masing-masing tewas di separuh akhir.

Sementara itu, Pakistan calar rekod kemenangan skuad hoki negara apabila menang 4-1 pada perlawanan keempat kumpulan B sekaligus meletakkan Malaysia di kedudukan kedua kumpulan.

Disediakan oleh : Majlis Sukan Negara
FaLang translation system by Faboba