JAKARTA, 27 OGOS 2019 - Muhammad Rafiq Ismail bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk menewaskan juara bertahan dari Korea Selatan, Park Joo Woo pada aksi final stepladder di Pusat Boling JSC di Palembang. Lebih manis, Rafiq turut melakar sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi acara masters lelaki di pentas ini sejak 1978.

Ini merupakan emas kedua dari skuad boling selepas gandingan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Esther Cheah dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman meraih emas pertama negara menerusi acara trio wanita. Dalam pada itu, skuad lumba basikal trek negara raih perak selain berjaya memadam rekod kebangsaan berusia 10 tahun acara pecut berpasukan lelaki. Catatan baru 43.934 saat dicipta Azizulhasni Awang, Muhd. Shah Firdaus Sahrom dan Mohd. Fadhil Zonis dalam aksi kelayakan, memperbaharui rekod kebangsaan 44.725 saat yang dilakukan oleh Azizulhasni, Josiah Ng dan Rizal Tisin dalam Sukan Olimpik 2008 di Beijing. Catatan 43.934 saat itu juga bermakna trio negara turut memperbaharui rekod temasya, memadam catatan lama 44.406 saat dilakukan China sewaktu Sukan Asia 2010.

Walau bagaimanapun, catatan itu hanya bertahan selama tiga jam sahaja sebelum diperbaharui Jepun dengan masa 43.899 saat ketika memenangi gangsa. Di gelanggang silat pula, Mohd Al Jufferi Jamari terpaksa berpuas hati dengan pingat perak acara pencak silat kelas E (65kg ke 70kg). Turut berpuas hati dengan pingat perak, Muhammad Faizul Mohd Nasir yang beraksi dalam kelas B (50-55kg). Sementara itu, harapan skuad kendalian Dhaarma Raj untuk melangkah ke peringkat separuh akhir tidak kesampaian selepas tewas 1-3 kepada Jepun dalam perlawanan terakhir kumpulan A.

Disediakan Oleh : Majlis Sukan Negara
Go to top