JAKARTA, 28 OGOS 2018 - Kemarau 24 tahun pingat emas sepak takraw berakhir di Palembang apabila trio negara menghadiahkan pingat emas menerusi acara antara regu. Pada aksi final yang berlangsung di Kompleks Sukan Jakabaring, trio negara yang dibarisi Muhammad Zulkifli Abd. Razak selaku tekong, Farhan Adam (pengumpan) dan Mohamad Azlan Alias (perejam) berjaya mengawal emosi bagi meraih pingat emas keempat negara selepas menang 18-21, 22-10, 21-11 ke atas wakil tuan rumah, Indonesia.

Kali terakhir Malaysia menggenggam emas acara ini adalah ketika edisi 1994 di Hiroshima, Jepun. Trio compound lelaki negara pula sumbang pingat gangsa dalam acara berpasukan compound lelaki. Trio yang dibarisi Juwadi Marzuki, Alang Arif Aqil Muhammad Ghazali dan Lee Kin Lip menewaskan pasukan Taiwan 225-223 di Padang Memanah Gelora Bung Karno.

Dalam pada itu, Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri raih pingat gangsa dalam acara 10 meter platform seirama. Pada aksi yang berlangsung di Pusat Akuatik, Gelora Bung Karno, Mun Yee dan Dhabitah mengumpul 310.80 mata selepas lima terjunan. Emas milik pasangan China Zhang Jiaqi-Zhang Minjie dengan 361.38 mata manakala Kim Kuk Hyang-Kim Mi Rae dari Korea Utara meraih perak.

Disediakan oleh : Majlis Sukan Negara
Go to top