NFDP MERUPAKAN MASA DEPAN BOLA SEPAK NEGARA - SYED SADDIQ
KUALA LUMPUR, 6 OKTOBER 2018 - Bagi mengatasi kemelut yang melanda Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menganjurkan sesi “townhall” khas bersama pemegang taruh arena bola sepak negara antaranya jurulatih, bekas pemain, ibu bapa dan orang perseorangan.

Sesi yang berlangsung di Majlis Sukan Negara itu telah dikendalikan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Berbagai input merangkumi kritikan, idea, pandangan dan cadangan telah diutarakan sepanjang sesi tersebut berlangsung demi pemerkasaan masa depan bola sepak negara.

Kerajaan melalui KBS akan terus memperkasakan pembangunan sukan bola sepak terutamanya di peringkat akar umbi agar impian beraksi di Piala Dunia satu hari nanti akan menjadi kenyataan. “Saya sentiasa mengalu-alukan pandangan serta idea daripada orang ramai dan akan mengadakan lebih banyak sesi pertemuan begini untuk memastikan ia berada di tahap yang terbaik,” ujar beliau. Sesi tersebut turut disertai oleh timbalannya, YB Steven Sim dan Ketua Setiausaha, YBhg. Dato’ Lokman Hakim Ali.

Demi merealisasikan penyelesaian kemelut tersebut dengan segera, YB Syed Saddiq turut mengambil inisiatif melakukan pemeriksaan mengejut ke Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) yang terletak di Gambang, Pahang. Lawatan yang dilakukan tanpa pengetahuan penguruan AMD itu dilakukan untuk mengenalpasti permasalahan dan isu yang menyelubungi akademi tersebut seterusnya mencari titik penyelesaian.

Ditulis oleh: Muhammad Fadzil bin Zulkifli (Pelatih Industri UPM), Unit Komunikasi Korporat
Go to top