KUALA LUMPUR, 23 OKTOBER 2018 – Pengurusan Pusat Belia Antarabangsa (IYC) telah menerima Kunjung Hormat daripada Kontinjen Malaysia yang menyertai Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) ke-45/2018 bermula pada 22 Oktober hingga 13 Disember 2018 yang dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Belia dan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) pada 22 Oktober 2018 bertempat di Bilik Merak, IYC.

YBhg. Dr. Mohamed Maliki bin Mohamed Rapiee, Pengarah IYC telah menyampaikan taklimat berkaitan program pembangunan belia serta fasiliti IYC. Turut hadir dalam sesi ini ialah Naib Presiden Persatuan Alumni Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP), En. Khairul Annuar Mansor.

Program anjuran dan tajaan sepenuhnya oleh kerajaan Jepun dengan kerjasama 10 buah negara Asia Tenggara ini menghimpunkan belia-belia ASEAN dan Jepun dengan objektif pertukaran silang budaya selain menambah rangkaian kepimpinan belia negara-negara terlibat.

Seramai 28 orang belia Malaysia dan seorang ketua kontinjen bakal mengharungi pelayaran selama 52 hari di atas kapal 'Nippon Maru' mengelilingi Asia Tenggara bagi melaksanakan pelbagai aktiviti kebudayaan, perbincangan ilmiah dan juga persinggahan ke pelabuhan-pelabuhan antarabangsa.

Disediakan oleh: Dewi Yusmalaila binti Muhamad
Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Go to top