KUALA LUMPUR, 17 DISEMBER 2018 - Atlet bina badan dan pesilat negara menutup tirai 2018 dengan noktah cemerlang selepas membolot gelaran juara dunia pada kejohanan yang berlangsung di Thailand dan Singapura.

Syarul Azman Mahen Abdullah, Lilian Tan dan Buda Anchah membawa pulang empat pingat emas keseluruhan dalam Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia 2018 yang diadakan di Chiang Mai, Thailand.

Kepulangan mereka serta kontinjen bina badan negara di KLIA2 disambut Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Syarul Azman mencipta sejarah tersendiri apabila meraih gelaran hatrik gelaran Mr Universe kategori fizik 167cm sekaligus menjadikan beliau sebagai atlet pertama dunia meraih gelaran hatrik dalam kategori berkenaan. Lilian Tan pula cemerlang merangkul dua pingat emas kategori 55 kilogram ke atas dan Masters 30 tahun ke atas. Manakala Buda Anchah sumbang emas menerusi kategori masters 40-50 tahun selain perak bagi bawah 70kg.

Kontinjen silat pula meraih 3 pingat emas dalam Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2018 di Singapura. Siti Rahmah Nasir mempertahankan gelaran dunia buat kali keempat berturut-turut empat selepas mengungguli kelas Puteri E, diikuti Mohd. Hazim Amzad yang mendominasi kelas Putra C, manakala gandingan Taqiyuddin Hamid-Sazzlan Yuga memenangi saingan Ganda Putera. Ketibaan mereka petang tadi disambut Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Majlis Sukan Negara, Suhardi Alias.

Disediakan oleh: Majlis Sukan Negara
Go to top