Kuala Terengganu, 9 Mac 2010 – Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) telah mengadakan satu majlis bagi meraikan kepulangan Raja Pecut LTDL 2010, Anuar Manan di kediaman beliau yang disempurnakan oleh YB. Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery bin Cheek dengan disambut oleh penduduk setempat dengan meriahnya.
Menurut YB. Menteri Belia dan Sukan, “kejayaan Anuar Manan ini dapat memberi inspirasi kepada anak-anak muda khususnya di Terengganu dan Malaysia amnya dalam mengejar kejayaan seperti beliau.” YB. Menteri turut berbangga dengan pencapaian atlet negara kita yang menunjukkan peningkatan pada edisi LTDL ke-15 ini. YB. Menteri juga mengucapkan tahniah kepada Anuar Manan di atas kejayaannya memenangi gelaran Raja Pecut seterusnya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Bagi Anuar Manan, beliau telah meletakkan sasaran untuk berkayuh dalam jelajah berprestij Tour De France menjelang tiga tahun lagi. “Saya akan terus berusaha gigih dari sekarang dan memastikan mempunyai segala yang diperlukan untuk mencipta nama dan mengharumkan nama negara dengan menyertai perlumbaan berprestij itu.”katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Setiausaha Operasi KBS, Dato’ Mohid bin Mohamed, CEO LTDL 2010, En. Mohamed Salleh, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Haji Abu Samah Abd. Wahab dan penduduk kampung serta masyarakat setempat yang berbangga dengan kejayaan Anuar.