KUALA LUMPUR, 1 SEPT 2019 - 4 pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) akan menjalani sesi percubaan bersama Kelab Liga 1 Jepun, Cerezo Osaka bermula minggu hadapan.

Lukman Hakim Shamsudin, Harith Haiqal Adam Afkar, Muhammad Firdaus Khaironisam dan Ali Imran Sukari akan menjalani latihan percubaan selama 10 hari bermula 3 hingga 13 September ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail mahu peluang ini dimanfaatkan sebaik mungkin dalam usaha memberikan peluang kepada lebih ramai pemain muda untuk beraksi di peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, Lukman Hakim Shamsudin ketika di temui media menyifatkan bahawa peluang yang di berikan oleh pihak Cerezo Osaka ini sebagai yang terbaik untuk dirinya dan berjanji akan berusaha sebaiknya untuk mendapatkan tempat bersama kelab tersebut.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu saya bagi mendapatkan tempat di Cerezo Osaka terutamanya kepada YB Menteri Belia & Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sentiasa memberi semangat dan galakan kepada saya untuk bermain di Jepun. Juga kepada pihak NFDP, MSN, FAM, ISN dan KPM yang membantu dalam usaha ini”.

Penghantaran pelatih AMD ke kelab terkemuka luar negara merupakan antara inisiatif yang di ambil oleh pihak Majlis Sukan Negara (MSN) bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertujuan untuk memberikan mereka pengalaman bersama kelab luar selepas mereka tamat sesi latihan di AMD.

FaLang translation system by Faboba