KUALA LUMPUR, 11 SEPTEMBER 2019 - Silat yang mensasarkan 2 pingat emas pada temasya Sukan SEA di Filipina November ini menyandarkan harapan kepada Muhammad Faizul M.Nasir untuk menjadi penyumbang pingat emas di Manila nanti.

Muhammad Faizul yang akan bertanding dalam acara Putra Kelas B (50-55kg) tekad meraih pingat emas ketiganya di Sukan SEA dan dijangka akan menerima tentangan sengit daripada pesilat Singapura, Hazim Yusli dan Hidayat Limonu dari Indonesia.

“Saya mahu mengekalkan rekod bersih di kejohanan Sukan SEA yang mana sebelum ini saya sudah raih dua pingat emas di dua edisi Sukan SEA," katanya pada sidang media Team Malaysia di MSN Bukit Jalil.

Jurulatih silat negara, Mazlan Shaari, turut optimis mampu sasaran dua pingat emas yang ditetapkan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dapat dicapai.

Selain Muhammad Faizul, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) telah menyenaraikan empat lagi atlet bagi kategori silat olahraga iaitu Muhammad Khairi Adib Azhar, Zulfazly Zulfakar, Nor Farah Mazlan dan Nurul Khaiza Kharudin yang akan bertanding dalam lima acara.

Bagi silat seni menawarkan empat pingat emas, tujuh atlet disenaraikan iaitu Luqman Laji, Mohd Taqiyuddin Hamid, Sazzlan Yuga, Muhammad Syafiq Ibrahim, Mohd Juned Abdullah, Nashrul Edzam Mohd Asri dan Nur Syafiqah Hamzah.

Filipina hanya mempertandingkan sembilan acara berbanding 20 acara pada edisi lalu di Sukan SEA Kuala Lumpur.

 

FaLang translation system by Faboba