Penjara. Ia adalah tempat buat sekumpulan kecil masyarakat yang tersasar dan melakukan jenayah. Ada beberapa alasan mengapa hukuman penjara dikenakan. Sudah tentu ianya untuk menghukum dan menghalang pesalah melakukan lagi jenayah. Tetapi, penjara juga adalah satu proses rehibilitasi kepada pesalah sebelum bebas melangkah ke dunia luar semula.

Walaupun bekas pesalah selesai menjalani hukuman, banyak daripada mereka mengalami kesukaran untuk menyertai semula masyarakat sebagai dengan rekod kesalahan lampau. Stigma dan pandangan negatif majikan terhadap rekod lampau sukar untuk dipadam. Akhirnya, tekanan menyebabkan mereka kembali melakukan jenayah ataupun “Residivisme”.

Malaysia perlu memberikan peluang kedua kepada bekas pesalah. Hanya dengan memberi peluang ini, bekas pesalah akan lebih mudah untuk berubah. Mereka akan mula percaya bahawa masyarakat sentiasa menyokong usaha mereka untuk berubah. Masyarakat tidak lagi dilihat sebagai musuh dan bekas pesalah ini akan mula mahu menjadi sebahagian dari masyarakat dan menyokong ekonomi tempatan. Di United Kingdom, ada gerakan untuk menyedarkan kerajaan bagaimana 11 juta individu dengan rekod jenayah sebenarnya boleh terlibat dan menyokong ekonomi domestik dalam pelbagai sektor termasuklah perkilangan, tekstil, pembinaan dan banyak lagi.

Apabila bekas pesalah dibantu, mempunyai pendapatan bulanan, mampu berdikari, boleh hidup tanpa desakan untuk melakukan jenayah, ia dapat mengurangkan kes jenayah berulang. Kebiasaan jenayah berulang ini terjadi kerana mereka tidak dibimbing. Di UK, 95% bekas pesalah yang mempunyai pekerjaan selepas mereka bebas tidak lagi melakukan jenayah berulang. Kos untuk seorang pesalah dipenjara dalam tempoh setahun di UK sebanyak €68,635 dapat dijimatkan.

Kajian di Amerika Syarikat mendapati, daripada jumlah 404,638 bekas pesalah yang telah bebas, 67.8 peratus akan pulang ke penjara dalam tempoh 3 tahun dan 76.6 peratus dalam tempoh 5 tahun. Antara faktor utama residivisme berlaku adalah kurangnya sokongan dan program “re-entry” dan rehabilitasi yang lemah. Ini bermakna, selagi kita menutup mata dan tidak membuka peluang kepada bekas pesalah, mereka akan rasa terasing dan kembali melakukan jenayah. Akhirnya, mereka akan dihumban semula ke penjara.

Negara luar sudah banyak mengambil inisiatif membantu bekas pesalah dan mengurangkan residivisme. Jiran kita, Singapura sudah lebih 14 tahun memulakan ​Yellow Ribbon Project dengan matlamat yang sama. Membantu bekas pesalah menyertai semula masyarakat. Hari ini, 96% rakyat Singapura sedar dan faham kempen Yellow Ribbon Project sekaligus memudahkan masyarakat dan majikan memberi sebanyak 3,400 pekerjaan kepada bekas pesalah dengan lebih 2,400 sukarelawan dalam program mereka sejak ia dilancarkan.

Banyak negeri di Amerika Syarikat juga bertindak proaktif. Antaranya seperti California melalui program ​Prison University Project​​. Projek yang dilakukan sejak tahun 2003 ini telah membantu lebih 135,000 pesalah menyertai sistem pendidikan dalam 35 buah penjara negeri. Ia dilakukan untuk membaiki imej dan stigma buruk bekas pesalah dengan mengajak masyarakat membantu memudahkan bekas pesalah menyertai dunia luar dalam pelbagai sektor.

Di Malaysia, sebanyak 2,738 pesalah berumur bawah 21 tahun disabitkan kesalahan atas kesalahan dadah atau jenayah setakat Oktober 2018. Adik-adik ini masih muda. Masih punya peluang untuk berubah. Benar mereka pernah melakukan kesalahan. Tetapi, kita serahkan kepada pihak mahkamah dan penjara untuk menghukum mereka. Peluang kedua harus diberikan. Jika mereka disisihkan dari sektor pekerjaan, mereka akan didesak untuk melakukan semula jenayah berulang. Ini akan merugikan pesalah, masyarakat dan negara.

Jabatan Penjara Malaysia telah menyediakan pelan yang komprehensif untuk memberi “upskilling” dan pentauliahan kemahiran kepada pesalah supaya mereka bersedia dengan dunia luar. Antaranya Unit Pendidikan bertanggungjawab dalam bidang akademik, kokurikulum, teknik vokasional (TVET) dan pengajian tinggi sepanjang menjalani hukuman di dalam penjara. Jabatan Penjara juga telah merangka strategi latihan kemahiran berdasarkan National Occupation Skills Standards (NOSS).

Maka, Kementerian Belia dan Sukan melancarkan projek ​Reben Kuning sebagai satu langkah menghapuskan stigma buruk bekas pesalah di Malaysia. Kementerian Belia dan Sukan akan menggerakkan Bahagian Pembangunan Belia, IYRES, Majlis Sukan Negara dan beberapa lagi agensi bagi menjayakan projek Riben Kuning dan membantu bekas pesalah kembali ke dunia luar. Kami faham memang stigma ini sukar untuk dihakis. Tetapi, saya percaya jika pesalah muda ini mahu berubah, kita harus bantu. Pihak Kementerian Belia dan Sukan juga akan memanggil bekas pesalah muda untuk menyertai kementerian di dalam jabatan atau sektor yang sesuai dengan kemahiran yang ada pada mereka.

Usaha Kementerian Belia dan Sukan disambut baik oleh Kementerian Kewangan apabila di dalam pembentangan ​Belanjawan 2019​​, ​Menteri Kewangan YB Lim Guan Eng mengumumkan di bawah ​Strategi 5: Meningkat Peluang Pekerjaan dan Kebolehpasaran​​, cukai tambahan akan diberikan kepada syarikat yang menggaji bekas banduan supaya mereka sama sama menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

Inilah masa depan yang mereka pinta. Kerajaan komited untuk membantu semua golongan menikmati hasil negara, termasuklah bekas pesalah. Kami percaya apabila semua dibantu, negara akan lebih sejahtera. Sudah tentu fokus juga akan diberi kepada golongan lain. Projek Reben Kuning ini tidak lah mengganggu program ekonomi golongan lain. Malah, ia saling melengkapi demi negara yang lebih harmoni.

Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera !

                                                                                                                                                                            Nukilan: YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
                                                                                                                                                                                              Menteri Belia dan Sukan


Go to top