JASIN, 29 MAC 2015 - Dalam usaha melahirkan belia yang berketerampilan melalui aktiviti pengakap , Majlis Pengakap Daerah Jasin telah menganjurkan Perkhemahan Pra Pengakap Raja Fasa 2 Peringkat Daerah Jasin khusus untuk ahli-ahli pengakap yang layak untuk ke peringkat akhir sebelum ditauliahkan sebagai Pengakap Raja.


Anugerah Pengakap Raja atau lebih dikenali juga sebagai King's Scout Award merupakan anugerah tertinggi bagi Persekutuan Pengakap Malaysia. Sijil Pengakap Raja ditandatangani Yang di-Pertuan Agong serta semua Sultan di Malaysia.
Anugerah Pengakap Raja ini sama taraf dengan Eagle Scout di Amerika Syarikat, Queen's Scout di United Kingdom, Australia, Kanada dan New Zealand, President's Scout di Singapura dan Tiger Scout di Korea. Demi melayakkan diri menerima Anugerah Pengakap Raja ini, seseorang pengakap mesti mendapatkan lencana-lencana tertentu dan melalui proses-proses tertentu.

Perkhemahan Pra Pengakap Raja Fasa 2 Peringkat Daerah Jasin telah diadakan di Sekolah Menengah . Kebangsaan. Agama Tun Perak, Jasin, Melaka mulai pada 27 dan tamat pada hari ini yang melibatkan peserta seramai 43 peserta daripada tujuh sekolah sekitar daerah Jasin.

Di antara pengisian perkhemahan yang perlu dilalui oleh para peserta adalah istiadat menaikkan bendera, kawad kaki dan kawad tongkat, pertolongan cemas, pemeriksaan buku log lencana pengakap muda dan lencana tertinggi pengakap remaja, ikatan dan simpulan dan cara membuat bushman's thong.

Majlis penutup disempurnakan Pesuruhjaya Pengakap Daerah Jasin, Md Amin Sadi. Hadir sama, Haji Helmy Mustafam selaku Setiausaha Kehormat Majlis Pengakap Daerah Jasin.

Oleh : Ahmad Iswadi Ishak, PBSD Jasin
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Disunting : Razali Haji Mohamed Yassin (Unit Komunikasi Korporat KBS)
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Go to top