
1M4U: SUKARELAWAN BELIA IPT ANJUR TUISYEN PERCUMA
Oleh: Musyrifah Elias ( Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik KBS )
Alamat email ini dilindungi dari Spambot. Perlukan JavaScript untuk melihatnya
KUALA LUMPUR, 15 JULAI 2012 – Seramai 137 Sukarelawan belia yang terdiri daripada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) tidak ketinggalan memberi khidmat sukarela kepada 320 orang pelajar sekolah rendah di sekitar Lembah Pantai sempena berlangsungnya pelancaran program 1Malaysia For Youth (1M4U) pada hari ini.
Program yang dinamakan Fun Learning With Smartors ini diadakan di Kolej Kesembilan, Universiti Malaya (UM) dan dikendalikan oleh entiti sukarelawan IPT daripada University Ambassador Program (UAP), Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM) dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).
Aktiviti utama program tersebut ialah kelas tuisyen percuma bagi subjek sains dan matematik secara berkumpulan. Menurut pegawai Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Fatin Amirah Abd Aziz, program Fun Learning With Smartors bertujuan untuk menerapkan minat pelajar sekolah rendah kepada subjek sains dan matematik serta membudayakan amalan kerja sukarela kepada pelajar IPT.
Menurutnya lagi, tumpuan aktiviti adalah kepada dua modul iaitu Modul Matematik (kaedah pembelajaran inovatif mempelajari sifir) dan Modul Sains (pembinaan model gunung berapi ).
Sementara itu, Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Lembah Pantai, Chan Khim Yong berkata, aktiviti seperti ini dapat memberi gambaran kepada masyarakat bahawa golongan belia di IPT juga berupaya memberi sumbangan kepada negara dengan cara mereka tersendiri.
Dalam pada itu, sebahagian Ibubapa pelajar-pelajar juga hadir untuk bersama-sama melihat pelaksanaan program. Salah seorang ibu pelajar terlibat, berkata, program ini dapat membantu anak mereka meningkatkan minat dalam subjek matematik dan sains yang dianggap subjek yang menggerunkan dan aktiviti berkumpulan menjadikan minda lebih terbuka. Beliau juga akan menggalakkan anaknya menjadi sukarelawan pada masa akan datang untuk bersama-sama memberi sumbangan kepada negara.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Dato’ Raja Nong Chik Dato’ Raja Zainal Abidin hadir dan beramah mesra serta memberi kata semangat kepada peserta dan sukarelawan belia IPT.
Hadir sama, Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Kementerian Belia dan Sukan, .Dato’ Azhar Mohamed Isa dan Pengarah Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar KPT, Haji Ibrahim Ali.
Kehadiran atlet negara seperti Zandra Aziela Ibrahim (boling), Ryan Chong Wy Lunn (Taekwondo) dan Mohd Afifuddin Sidek (Taekwondo) di sepanjang program berlangsung turut memberi motivasi dan semangat kepada peserta-peserta kursus itu.
Disunting : Razali Haji Mohamed Yassin ( Unit Komunikasi Korporat KBS )
Alamat email ini dilindungi dari Spambot. Perlukan JavaScript untuk melihatnya
Dasar Keselamatan | Dasar Privasi | Penafian
Hakcipta Terpelihara © 2013
Kementerian Belia dan Sukan Malaysia
Menara KBS, No 27 Persiaran Perdana, Presint 4, 62570 Putrajaya
Tel : 03-8871 3333/03-8871 3000 Fax : 03-8888 8770
Info : webmaster@kbs.gov.my
Portal ini sesuai dipaparkan menggunakan resolusi 1280 x 1024 dan pelayar:![]()
![]()
![]()
Versi 3.0