
LAWATAN KUNJUNG HORMAT DELIGASI BRUNEI KE MALAYSIA TERUS JALIN KERJASAMA
DUA BUAH NEGARA ASIA
Disediakan oleh : Zul Fadhli Mohamed (Unit Komunikasi Korporat, KBS)
This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
PUTRAJAYA, 27 Januari 2012: Rombongan delegasi daripada Negara Brunei Darussalam telah membuat lawatan kunjung hormat ke atas Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya. Delegasi tersebut diketuai oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei (KKBS), Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato’ Seri Setia Awang Haji Hazair Bin Haji Abdullah yang ditemani isteri beliau. Kunjung hormat ini diadakan sebagai lawatan balas terhadap kunjungan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, bersama pegawai-pegawai kanan KBS ke Brunei pada 30 Jun hingga 2 Julai 2011 yang lalu.
Rombongan yang diketuai oleh Setiausaha Tetap KKBS, Dato’ Paduka Haji Mohd Hamid Bin Haji Mohd Jaafar, dan pegawai-pegawai KKBS tiba di KBS pada pukul 8.50 pagi disambut oleh Ketua Setiausaha (KSU) KBS, Dato' Mohid Mohamed sebelum dibawa melawat ke Lobi Menara KBS dan juga Pejabat KSU di Aras 15.
Rombongan tersebut seterusnya mengadakan Perbincangan Dua Hala bagi Penyelarasan Program Belia dan Sukan kedua-dua negara. Antara yang turut serta dalam perbincangan tersebut adalah Pengarah Bahagian Belia dan Sukan KKBS, Puan Hajjah Norlah bt Haji Yaakob; Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan KKBS, Encik Awang Haji Rosmadee b. Haji Daud; Ketua Bahagian Kejurulatihan Sukan KKBS, Encik Awang Kifli b. Haji Jaafar. Perbincangan telah di pengerusikan Ketua Setiausaha KBS, Dato' Mohid Mohamed.
Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek yang tiba sejurus selepas itu turut meraikan ketibaan Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato’ Seri Setia Awang Haji Hazair Bin Haji Abdullah beserta delegasi daripada Brunei dan membawa mereka melawat ke pejabat beliau di aras 17 Menara KBS.
Sejurus selepas itu, satu sesi penerangan dan tayangan video berkaitan Hari Belia Negara (HBN) 2012 disampaikan oleh Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek bagi mempromosikan HBN 2012 untuk menarik penyertaan belia antarabangsa terutama belia dari Brunei menyertainya. Sambutan HBN tahun ini mensasarkan seramai dua juta belia akan berhimpun di Putrajaya pada 23 hingga 27 Mei 2012.
Pada sidang media yang diadakan sejurus selepas sesi penerangan tersebut, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek menyatakan bahawa beliau berbesar hati menerima kunjung hormat delegasi dari Brunei Darussalam dan berharap kedua-dua negara dapat berkongsi pendapat serta idea mengenai pembangunan belia dan sukan serta memperkukuhkan lagi hubungan yang sudah sekian lama terjalin.
Di samping itu, KKBS dan KBS dapat memperkemas dan membincangkan dengan lebih terperinci mengenai dua perkara yang telah dipersetujui kedua-dua negara iaitu meningkatkan mutu sukan dan pembangunan belia serta cadangan penggunaan kemudahan sukan di Sabah dan Sarawak oleh masyarakat Brunei kerana jaraknya yang berdekatan. Perkara kedua pula ialah matlamat Malaysia dan Brunei untuk menjadikan sukan di negara masing-masing sebagai sebuah industri.
Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek juga mengucapkan terima kasih kepada Pehin Dato’Seri Setia Awang Haji Hazair kerana sentiasa menyokong usul Malaysia di peringkat antarabangsa dalam soal pembangunan belia. Manakala Pehin Dato’ Seri Setia Awang Haji Hazair pula menyatakan hasrat negara Brunei Darussalam untuk mengikut jejak Malaysia yang telah mencapai banyak kejayaan dalam bidang sukan sama ada di peringkat serantau mahupun di peringkat dunia. Beliau turut menunjukkan minat untuk mengetahui dengan lebih lanjut teknologi sains sukan di Malaysia yang pada pandangan beliau menyumbang kepada kejayaan tersebut.
Disunting oleh: Lizza Imelia M. Sulanah (Unit Komunikasi Korporat, KBS)
This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
Security Policy | Privacy Policy | Disclaimer
Copyright © 2012 All Rights Reserved
Ministry of Youth and Sports
KBS Tower, No 27 Persiaran Perdana, Precint 4, 62570 Putrajaya
Tel : 03-8871 3333/03-8871 3000 Fax : 03-8888 8770
Info : webmaster@kbs.gov.my
Best viewed with resolution 1280 x 1024 using ![]()
![]()
![]()
Version 3.0