
IKBN SEBAGAI MODEL RUJUKAN PEMBANGUNAN BELIA BRUNEI
Disediakan oleh : Yusfadhila Yunus (Unit Komunikasi Korporat, KBS)
This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
HULU LANGAT, 28 Januari 2012: Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) Brunei Darussalam bersama delegasinya yang sedang dalam Lawatan Kerja di Malaysia selama lima hari bermula 25 hingga 29 Januari 2012 meneruskan aktiviti dengan melawat ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Dusun Tua di sini hari ini.
Delegasi Brunei ke IKBN Dusun Tua disambut oleh Ketua Pengarah (KP), Bahagian Pembangunan Kemahiran (BPK), Tuan Haji Saari bersama kakitangan IKBN. Antara tujuan utama lawatan tersebut adalah untuk menerangkan dengan lebih lanjut fungsi dan peranan utama IKBN terutama dalam melatih belia berkemahiran melalui kemudahan dan kursus-kursus yang ditawarkan.

Delegasi Brunei dibawa melawat ke IKBN Dusun Tua kerana ianya merupakan antara Institut Kemahiran yang terawal ditubuhkan di negara ini iaitu pada 1966 untuk melatih para belia dalam bidang kemahiran yang dahulunya dikenali dengan nama Pusat Latihan Belia Dusun Tua.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei dalam ucapannya menyatakan minat untuk berkongsi pengalaman bersama IKBN untuk pembangunan belia di sana. Tambah beliau lagi, Pusat Pembangunan Belia di Brunei yang ditubuhkan pada 1996 yang hampir menyerupai konsep pengajian di IKBN boleh dimantapkan lagi dengan wujudkan usahasama dua negara dalam memberi pandangan dan bertukar pendapat terutama yang membabitkan golongan belia.
Delegasi Brunei juga turut dibawa melawat pameran yang mempamerkan hasil-hasil kerja oleh pelajar-pelajar IKBN dari seluruh negara meliputi kursus-kursus utama seperti Jurusaan Elektrik, Automotif, Hospitaliti, Tekstil & Apparel dan banyak lagi.
Selepas itu, kesemua delegasi Brunei di bawa pula melawat ke Bengkel-bengkel yang terdapat di IKBN Dusun Tua bagi kegunaan pembelajaran dan latihan pelajar-pelajar IKBN seperti Bengkel Pemesinan Am, Bengkel Automotif Penyelenggaraan Kereta dan Bengkel Mekanik Industri.
Menurut Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran, Tuan Haji Saari Bin Salleh, lawatan ke IKBN oleh delegasi dari Brunei ini dapat mengeratkan lagi hubungan di antara kedua-dua negara dan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dalam usaha untuk melahirkan para belia yang berilmu khususnya dalam bidang kemahiran.
Sejurus selepas mengadakan lawatan ke IKBN, delegasi Brunei menyambung sesi lawatan kerja mereka dengan mengunjungi Astro Arena, Petaling Jaya.
Kunjungan mereka disambut oleh Pegawai Kakitangan Astro Arena, Khawari Isa sebelum dibawa untuk sesi penerangan yang disampaikan oleh Pengurus Besar Astro Arena, Darren Althofer. Lawatan selama satu jam di Astro Arena turut membawa delegasi Brunei melawat kemudahan-kemudahan serta studio-studio yang terdapat di situ.
Disunting oleh: Lizza Imelia M. Sulanah (Unit Komunikasi Korporat, KBS)
This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
Security Policy | Privacy Policy | Disclaimer
Copyright © 2012 All Rights Reserved
Ministry of Youth and Sports
KBS Tower, No 27 Persiaran Perdana, Precint 4, 62570 Putrajaya
Tel : 03-8871 3333/03-8871 3000 Fax : 03-8888 8770
Info : webmaster@kbs.gov.my
Best viewed with resolution 1280 x 1024 using ![]()
![]()
![]()
Version 3.0