
PELAJAR IKBN SERLAH BAKAT KREATIVITI DAN INOVASI
Disediakan oleh : Yusfadhila Yunus (Unit Komunikasi Korporat, KBS)
This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
PUTRAJAYA, 28 Jun 2012 – 20 Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) di seluruh negara bersaing bagi merebut gelaran juara dalam pertandingan berteraskan kreativiti dan inovasi dalam pelbagai jenis bidang yang dipertandingkan.
Program anjuran Bahagian Pembangunan Kemahiran, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selama dua hari bermula 27 hingga 28 Jun 2012 di perkarangan Menara KBS ini melibatkan seramai 221 orang pelajar berumur 18 hingga 23 tahun bersama pengajar masing-masing.
Pelbagai projek ciptaan berinovasi dengan kreativiti bertemakan Teknologi Hijau dipamer untuk dinilai oleh para hakim yang terdiri daripada pengajar-pengajar IKBN / IKTBN yang berpengalaman.
Sepanjang dua hari pertandingan itu, sebanyak lima kategori dipertandingkan sekaligus iaitu Pertandingan Kemahiran Malaysia (PKM), Pertandingan Inovasi Peringkat IKBN Tahun 2012, MySkills, ASEAN Skills Comptetion (ASC) dan Education Innovation Motorsport and Automotive Race (EIMARace).
“Pertandingan sebegini membuka minda dan menjadikan para pelajar IKBN / IKTBN untuk berfikiran lebih kritis dan kreatif,” ujar Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, semasa menyampaikan ucapan perasmian penutup pertandingan tersebut di Podium, Menara KBS di sini hari ini.
Tambah beliau lagi, disiplin motorsport yang mula diperkenalkan di IKBN Temerloh iaitu Education Innovation Motorsport and Automotive Race (EIMARace) merupakan salah satu kejayaan yang membanggakan dan menjadikan IKBN salah satu daripada pesaing hebat setanding dengan lain-lain institusi mahupun universiti.
Pada pertandingan Pra-EIMARaca di Litar MIMC, Ayer Keroh pada April lalu, IKBN Chembong telah berjaya menduduki tempat pertama keseluruhan perlumbaan mengalahkan 11 lagi pasukan dari IKBN-IKBN yang lain.
Manakala IKBN Bukit Mertajam telah dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Pertandingan Inovasi 2012 dengan projek yang dinamakan Announcement System dan membawa pulang hadiah berjumlah RM2,000 beserta sijil dan trofi.
Pada majlis yang sama, dua orang pelajar, Chang Wai Ken dari IKBN Peretak dan Muhammad Saffian Ahmad Sari dari IKBN Alor Gajah masing-masing dalam bidang Perekaan Gaya Rambut dan Penyeliaan Makanan dan Minuman telah terpilih bagi mewakili Malaysia ke pertandingan ASEAN Skills Competition 2012 (ASC) yang bakal berlangsung di Jakarta pada 10 hingga 18 November 2012 nanti
Anugerah Khas Pertandingan Kemahiran pula menjadi milik Norashikin Haji. A. Tajuddin dari IKBN Peretak.
Bagi pertandingan MySkill khusus untuk pengajar IKBN, tempat pertama menjadi milik Mohd Sophian Kandar dari IKBN Kinarut untuk bidang Wall and Floor Tiling. Manakala tempat kedua pula, Nor Fazlonnisa Baharom dari IKBN Jitra dan Juhaidi Musimin dari IKBN Jitra, masing-masing dalam bidang kemahiran batik.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KBS, Dato’ Mohid Mohamed, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk Jamil Salleh dan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran, Haji Saari Bin Salleh.
Disunting : Razali Haji Mohamed Yassin ( Unit Komunikasi Korporat KBS )
This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
Security Policy | Privacy Policy | Disclaimer
Copyright © 2013 All Rights Reserved
Ministry of Youth and Sports
KBS Tower, No 27 Persiaran Perdana, Precint 4, 62570 Putrajaya
Tel : 03-8871 3333/03-8871 3000 Fax : 03-8888 8770
Info : webmaster@kbs.gov.my
Best viewed with resolution 1280 x 1024 using ![]()
![]()
![]()
Version 3.0